Thursday, January 9, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS catat kematian manusia pertama H5N1

    WASHINGTON, 7 JAN – Pihak berkuasa kesihatan Louisiana kelmarin melaporkan kematian manusia pertama di Amerika Syarikat (AS) yang dikaitkan dengan selesema burung, sambil menegaskan bahawa pesakit tersebut mempunyai masalah kesihatan tersembunyi dan risiko keseluruhan kepada orang awam kekal rendah.

    Pesakit yang berusia lebih 65 tahun itu telah dirawat di hospital di negeri selatan tersebut sejak pertengahan Disember, apabila Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS mengumumkan kes serius pertama jangkitan manusia akibat virus H5N1 di negara itu.

    “Sementara risiko kesihatan awam semasa terhadap orang awam kekal rendah, individu yang bekerja dengan unggas, ayam ternakan atau lembu atau yang mempunyai pendedahan rekreasi terhadap haiwan tersebut, mempunyai risiko yang lebih tinggi,” kata Jabatan Kesihatan Louisiana dalam satu kenyataan semasa mengumumkan kematian itu.

    Pesakit tersebut dilaporkan telah dijangkiti H5N1 selepas terdedah kepada gabungan ternakan haiwan di belakang rumah yang bukan komersial dan burung liar. Namun, tiada jangkitan H5N1 tambahan mahupun bukti penularan antara manusia dikesan di negeri tersebut.

    Berita itu muncul hanya beberapa hari selepas kerajaan persekutuan meluluskan dana sebanyak tambahan sebanyak AS$306 juta untuk memperkukuh program pemantauan dan penyelidikan H5N1, di tengah-tengah kritikan terhadap pentadbiran Presiden Joe Biden mengenai tindak balasnya terhadap isu yang semakin membimbangkan ini.

    Jumlah selesema burung yang tersebar dalam kalangan haiwan dan manusia telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan saintis tentang kemungkinan virus ini bermutasi menjadi bentuk yang lebih mudah menular sekali gus berpotensi mencetuskan pandemik yang membawa maut.

    Sejak awal tahun 2024, CDC telah merekodkan 66 kes selesema burung dalam kalangan manusia di AS. – AFP

    Imej mikroskop elektron berwarna yang dikeluarkan oleh Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan, menunjukkan zarah virus influenza A H5N1 (kuning), tumbuh dalam sel epitelium Madin-Darby Canine Kidney (MDCK) (biru). – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda