SINGAPURA, 30 OKT – ASEAN mesti menumpukan usaha untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja, menambah baik peraturan pasaran buruh dan memupuk pertumbuhan ekonomi inklusif bagi mengharungi cabaran kritikal yang dihadapi sektor buruh di rantau ini dengan berkesan, kata Setiausaha Agungnya, Dr Kao Kim Hourn.
Kao berkata dengan menumpukan perhatian kepada bidang tersebut, ASEAN boleh membina pasaran buruh yang lebih berdaya tahan dan saksama yang lebih memenuhi keperluan rantau yang pelbagai dan dinamik.
“Sektor buruh di rantau kita berdepan dengan cabaran kritikal lain. Kelaziman pekerjaan tidak formal masih banyak berlaku yang sering menyebabkan pekerja tidak mendapat perlindungan dan faedah yang mencukupi.
“Selain itu, kesan perubahan iklim dan bencana alam menimbulkan risiko berulang kepada mata pencarian, terutamanya dalam ekonomi yang bergantung kepada pertanian, memaksa golongan muda berhijrah ke bandar atau luar negara untuk mencari pekerjaan,” katanya pada perasmian Mesyuarat Menteri-menteri Buruh ASEAN (ALMM) ke-28 di Singapura hari ini.
Kao menyatakan bahawa sektor buruh di peringkat global dan dalam rantau ASEAN sedang mengalami transformasi ketara yang didorong oleh kemajuan teknologi, perubahan ekonomi dan perubahan demografi.
Beliau berkata automasi dan kecerdasan buatan (AI) sedang membentuk semula landskap pekerjaan, dengan peralihan kepada peranan yang memerlukan kemahiran lebih tinggi sambil memberi cabaran kepada sektor pekerjaan tradisional. – Bernama