Wednesday, May 1, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    ASEAN DLP promosi literasi digital kepada pelbagai kumpulan

    KUALA LUMPUR, 17 APRIL – Yayasan ASEAN dengan sokongan daripada syarikat Google.org, baru-baru ini telah melancarkan Program Literasi Digital ASEAN (ASEAN DLP) bertujuan meningkatkan celik digital merentasi pelbagai kumpulan di rantau ini.

    “Adalah amat penting untuk membolehkan semua orang, tanpa mengira keadaan fizikal mereka, celik digital, bukan sahaja untuk memerangi penyebaran maklumat palsu, tetapi untuk mengekalkan produktiviti,” kata Yayasan ASEAN dalam kenyataan hari ini.

    “Pada mulanya, mereka hanya menggunakan telefon bimbit, tetapi kini mereka mula menggunakan komputer riba untuk pelbagai tujuan,” kata Gina, salah seorang jurulatih utama yang melatih pelajar buta dari Sekolah Luar Biasa (SKB) Pembina National University di Jakarta, Indonesia.

    Satu lagi aktiviti utama ASEAN DLP ialah penubuhan Kumpulan Penasihat Belia ASEAN (ASEAN YAG) yang bertujuan melancarkan kempen serantau dan kebangsaan untuk memerangi maklumat salah dan maklumat palsu di peringkat akar umbi.

    Secara keseluruhan, yayasan itu berkata ia telah melancarkan 12 projek dengan kempen media sosial dalam talian untuk DoubleCheck di Singapura dan Projek Wargamas Digital (kelas digital warga emas) di Malaysia.

    Kempen DoubleCheck mendidik remaja berusia 10 hingga 16 tahun untuk membangunkan kemahiran celik digital.

    Projek Wargamas Digital pula memberi tumpuan untuk meningkatkan literasi dan kesedaran digital dan memerangi maklumat palsu dan maklumat salah dalam kalangan warga emas.

    Kempen yang berlangsung dari Januari 2023 hingga Jun 2023, bertujuan untuk mengubah warga emas yang mengambil bahagian menjadi ejen perubahan yang dapat mengesan, membalas dan mencegah penyebaran maklumat salah dalam talian. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...