Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN-ROK Startup Festival sediakan ilmu pengetahuan bernilai

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Syarikat permulaan global tidak terkecuali berhadapan dengan cabaran signifikan semasa pandemik COVID-19, oleh itu, ASEAN-ROK Startup Festival diharapkan dapat menjadi platform berguna untuk mereka memperoleh pandangan dan ilmu pengetahuan yang bernilai bagi mengenal pasti cara mengatasi cabaran.

    Di samping itu, ia juga diharap dapat mengembangkan lagi kerjasama dan meneroka peluang-peluang perniagaan baharu antara syarikat permulaan ASEAN dan Republik Korea untuk menjana hala tuju bagi kolaborasi serta tindakan serantau yang efektif.

    Dalam hubungan itu, ASEAN-ROK Startup Festival bermatlamat untuk menyediakan sebuah platform bagi setiap negara anggota ASEAN dan Republik Korea untuk mengetengahkan syarikat-syarikat permulaan yang unik daripada negara masing-masing.

    Ia merupakan peluang untuk syarikat permulaan berkenaan menyaksikan dan belajar daripada satu sama lain sambil berkongsi mengenai perniagaan dan perjalanan keusahawanan masing-masing.

    Perkara itu telah dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani dalam kata alu-aluannya semasa ASEAN-ROK Startup Festival yang berlangsung secara maya, kelmarin.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika menghadiri ASEAN-ROK Startup Festival yang berlangsung secara maya. – Gambar serahan DARe

    Beliau turut menyatakan bahawa festival berkenaan menyediakan peluang bagi pembina ekosistem syarikat permulaan ASEAN dan Republik Korea berkongsi ilmu pengetahuan dan memahami bagaimana pelabur-pelabur menilai model perniagaan daripada pelbagai pemimpin perniagaan serta pakar bidang berkenaan.

    Pengiran Hajah Zety Sufina menekankan lagi bahawa matlamat utama adalah untuk mengukuhkan hubungan antara syarikat permulaan dan bagi mencari bidang kolaborasi supaya dengan bersama, mereka mampu bangkit dan menjadikan negara kita lebih kukuh ada secara ekonomi atau mencari penyelesaian inovatif kepada jurang yang mungkin ada.

    Majlis diteruskan dengan kata alu-aluan daripada Timbalan Menteri bagi Dasar PKS di Kementerian Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Syarikat Permulaan, Byeon Taesup yang berkata, sejak Sidang Kemuncak

    Peringatan ASEAN-ROK pada 2019, ASEAN dan Republik Korea telah memperkukuhkan lagi kerjasama syarikat permulaannya.

    Beliau menambah bahawa di tengah-tengah COVID-19, ekosistem syarikat permulaan ASEAN telah menunjukkan pertumbuhan dinamik di mana 17 buah syarikat di rantau ASEAN telah berkembang menjadi syarikat yang berjaya.

    Majlis turut menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi Darussalam Enterprise (DARe) melancarkan festival berkenaan serta menyampaikan ucaptama.

    Sepanjang acara sehari yang disertai oleh lebih 300 orang peserta, pelbagai panel perbincangan diadakan yang memberikan manfaat kepada perniagaan mereka.

    Panel perbincangan berkenaan mengetengahkan peluang-peluang bagi kolaborasi antara syarikat permulaan ASEAN dan Republik Korea, pandangan daripada negara-negara anggota ASEAN mengenai kesan COVID-19 dan cabaran memasuki ke norma baharu, usahawan yang telah berputar semasa COVID-19, idea, trend dan teknologi baharu yang membentuk peluang-peluang besar dalam tahun-tahun mendatang, strategi jangka panjang dan kepimpinan bagi syarikat permulaan untuk bertahan serta maklumat dalam mengenai apa yang dicari oleh para pelabur.

    Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Javed Ahmad dalam kata penutupnya menyatakan bahawa festival itu telah berjaya untuk mengetengahkan bahan pelajaran yang baharu dan
    pertukaran ilmu pengetahuan bersama rakan-rakan dari seluruh ASEAN dan Republik Korea.

    Beliau menambah sebagai ketua DARe, sebuah organisasi yang bermatlamat utama untuk menyokong perniagaan tempatan di Brunei Darussalam, pihaknya sentiasa mencari jalan bagi mengukuhkan ekosistem syarikat permulaan di Brunei dan menyediakan sokongan kepada syarikat permulaan tempatan untuk berkembang serta membangun di Brunei dan juga di platform global.

    Beliau berkata lagi bahawa kita beruntung kerana diberikan peluang untuk mempelajari bagaimana pembina ekosistem syarikat permulaan negara-negara berbeza membantu bagi membangunkan syarikat permulaan masing-masing serta juga mendengar daripada syarikat permulaan bagaimana COVID-19 telah memberikan kesan kepada mereka.

    Sementara itu, Presiden Korea Institute of Startup and Entrepreneurship (KISED) ROK, Kim Yong Moon mengongsi sentimen yang serupa dalam kata penutupnya mengenai pentingnya kerjasama syarikat permulaan ASEAN-ROK.

    Festival itu dihoskan sebagai sebahagian daripada pengerusi ASEAN bagi Brunei di mana ia jatuh di bawah Kerjasama Syarikat Permulaan ASEAN-ROK berterusan di antara Kementerian Perusahaan Kecil dan

    Sederhana dan Syarikat Permulaan (MSS), Republik Korea dan Jawatankuasa Penyelaras ASEAN bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (ACCMSME).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda