Tuesday, November 26, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atlet Olimpik Uganda mati dibakar teman lelaki

    NAIROBI, 5 SEPT – Atlet Olimpik Uganda, Rebecca Cheptegei, meninggal dunia di Kenya hari ini, empat hari selepas dibakar oleh teman lelakinya, menurut kenyataan pegawai perubatan dan pegawai olahraga Uganda, hari ini.

    Ia merupakan insiden tragis terbaharu dalam kes keganasan berdasarkan jantina di Afrika Timur, di mana aktivis telah memberi amaran tentang peningkatan pembunuhan wanita.

    “Kami telah menerima berita sedih mengenai pemergian atlet Olimpik kita, Rebecca Cheptegei… selepas serangan ganas oleh teman lelakinya,” kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Uganda, Donald Rukare, dalam satu kenyataan di platform X.

    “Ia merupakan tindakan pengecut dan tidak berperikemanusiaan yang telah mengakibatkan kehilangan seorang atlet yang hebat. Legasinya akan terus dikenang.”

    Menurut polis, seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai pasangan Cheptegei, Dickson Ndiema Marangach, telah menyimbah mangsa dengan petrol sebelum membakarnya pada Ahad lalu di kediamannya di Endebess, daerah Trans-Nzoia, barat Kenya.

    Kejadian itu berlaku hanya beberapa minggu selepas Cheptegei, 33, menyertai acara maraton di Sukan Olimpik Paris, di mana beliau menduduki tempat ke-44.

    Cheptegei mengalami kebakaran pada 80 peratus badannya dalam serangan tersebut, menurut pemangku ketua pusat perubatan di mana beliau dirawat pada Selasa.

    “Semua organnya gagal berfungsi malam tadi dan dia meninggal pada pukul 5 pagi,” kata seorang petugas perubatan di Hospital Pengajaran dan Rujukan Moi (MTRH) kepada media pada Khamis. – AFP

    Rebecca Cheptegei beraksi semasa bersaing dalam final Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest pada 26 Ogos lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda