Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Atmosfera stabil, turunan hujan berkurang

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Negara Brunei Darussalam dijangka akan memasuki fasa kedua monsun timur laut pada awal Februari ini dan diramalkan akan berterusan sehingga Mac.

    Semasa tempoh berkenaan, kebiasaannya keadaan atmosfera cenderung lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.

    Secara relatif, Februari dan Mac dikategorikan sebagai dua bulan terkering dengan jumlah purata turunan hujan yang terendah direkodkan berbanding bulan-bulan lain.

    Berasaskan data klimatologi, jumlah purata turunan hujan bagi Februari ialah 162.9mm dan bagi Mac ialah 143.4mm.

    Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMB), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan bahawa berdasarkan jangkaan iklim bermusim terkini yang dikeluarkan oleh pusat iklim dunia, fenomena El Nino yang berintensiti kuat masih berlaku di Lautan Pasifik dan dijangka akan beransur-ansur berkurangan menjelang Jun 2024.

    Gambar Freepik

    Kehadiran fenomena El Nino tersebut dijangka akan menambah lagi pengurangan turunan hujan di Brunei bagi Februari, iaitu sedikit di bawah normal sekitar 100-130mm. Walau bagaimanapun, bagi Mac, jumlah turunan hujan diramalkan normal iaitu sekitar 110-170mm.

    Impak-impak cuaca yang berpotensi berlaku semasa tempoh fasa kedua monsun timur laut adalah keadaan panas dan kering. Pada waktu siang, suhu udara harian maksimum ada kalanya boleh meningkat antara 33 darjah Celsius hingga 35 darjah Celsius dan keadaan kering juga boleh menyebabkan cuaca sedikit berjerebu.

    Walaupun demikian, aktiviti turunan hujan masih berlaku sekali sekala terutama pada waktu malam dan keadaan berkabut boleh berlaku pada awal pagi. Keadaan cuaca sedikit berangin juga dijangka berlaku sekali-sekala dan boleh menyebabkan keadaan ombak meningkat ke paras bergelora sehingga mencapai ketinggian dua ke tiga meter di perairan Brunei.

    Keadaan laut bergelora adalah berbahaya terutamanya kepada bot-bot kecil dan aktiviti rekreasi dan sukan di laut.

    Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah awal dan perancangan yang bersesuaian yang berhubungkait dengan kemungkinan berlakunya keadaan cuaca panas dan kering yang diramalkan berlaku.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...