Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Pelancong Oceania Riviera tiba

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Negara Brunei Darussalam terus mengekalkan momentum pelancongan pelayaran dengan mengalu-alukan ketibaan kapal pelayaran pertama bagi 2024, Oceania Riviera, yang membuat pelayaran sulungnya ke negara ini.

    Sejak pemulihan pelancongan pelayaran pada 2023, Brunei terus mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah destinasi unggul di peta pelayaran global.

    Kapal Oceania Riviera yang memulakan pelayarannya dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu berlabuh di Brunei dengan membawa seramai kira-kira 1,200 penumpang.

    Selepas turun dari kapal berkenaan, para penumpang dialu-alukan dengan persembahan hadrah dan berpeluang bergambar bersama peserta persembahan yang mengenakan pakaian tradisional.

    Para pelancong turut disambut oleh pelbagai jenis vendor termasuk Kommunihub, AZ Back to Nature, Koleksi Husna, Aewon dan Kingdom Rides yang menyediakan para penumpang dengan buah tangan tradisional Brunei serta dibawa mengembara dan meneroka tapak-tapak ikonik negara melalui pakej pengembaraan yang disediakan.

    Ketibaan para pelancong yang mengikuti pelayaran tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN
    Kapal Oceania Riviera yang berlabuh di Pelabuhan Muara, hari ini. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN

    Para pelancong juga berpeluang menyertai pakej pelancongan mengembara ke tapak-tapak terkenal negara seperti Muzium Alat Kebesaran Diraja, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Istana Nurul Iman dan Kampong Ayer.

    Semasa perhentian pendek itu, mereka turut menikmati pelbagai hidangan makanan dan minuman tempatan serta mendapatkan buah tangan tradisional Brunei.

    Salah seorang pelancong yang menyertai pakej mengembara bandar, Maria Hastings dari California, Amerika Syarikat menyatakan dua masjid ikonik negara iaitu Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien serta Istana Nurul Iman merupakan sesuatu yang menakjubkan dan beliau amat teruja dengan struktur arkitektur majestiknya.

    Brunei Darussalam bakal menyaksikan ketibaan lima buah kapal pelayaran tahun ini dengan tiga daripadanya akan membuat pelayaran sulungnya yang merupakan satu lagi kejayaan bersejarah bagi pelancongan pelayaran.

    Kapal pelayaran, Norwegian Jewel akan mengadakan lawatan susulannya ke negara ini yang dijangka tiba pada 22 Februari nanti.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...