Personaliti media sosial, Atta Halilintar dan isterinya iaitu Aurel Hermansyah berkongsi berita gembira bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi.
Atta atau Muhammad Attamimi Halilintar, 29, memaklumkan mengenai perkara itu menerusi Instagram miliknya.
Kata Atta, dia seakan tidak percaya anaknya Ameena bakal mempunyai adik dan memohon doa peminat agar anak damit dalam kandungan isterinya itu membesar sihat. “Menggigil.. Ameena bakal mempunyai adik. Alhamdulillah ya Allah dari berdua jadi bertiga dan sekarang akan jadi berempat.
“Doakan ibu dan anak dalam kandungannya sihat terus ya,” katanya. Sementara itu, menerusi video di saluran YouTube mereka, anak kepada penyanyi Krisdayanti itu melakukan ujian kehamilan pada Jumaat lalu.
Aurel meluahkan rasa syukur ketika kit ujian kehamilan itu menunjukkan tanda positif.
“Alhamdulillah, terima kasih ya Allah. Saya gembira sangat tetapi bagai sedang bermimpi,” ujarnya.
Aurel kemudiannya memberikan kejutan itu kepada Atta yang sedang mengasuh Ameena dan apabila melihat hasil positif, Atta mengucapkan syukur serta memberi kucupan buat isterinya itu.
Atta dan Aurel mendirikan rumah tangga pada 4 April 2021 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Ameena Hanna Nur Atta. – Agensi
