Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Atthaya ikut jejak woods

    TOKYO, 3 NOV – Atthaya Thitikul memilih sukan golf seawal usia enam tahun. Kini, dia mengikuti jejak langkah Tiger Woods sebagai antara juara dunia paling muda dalam sukan ini.

    Remaja dari wilayah barat Ratchaburi itu baru-baru ini berjaya mencapai ranking teratas sebagai pemain golf wanita selepas memenangi dua kejohanan jelajah LPGA dan menang 12 kali di kedudukan 10 teratas.

    Pemain golf yang berusia 19 tahun itu menjadi remaja kedua paling muda mendapat gelaran juara dunia dalam sejarah golf wanita pada minggu ini selepas pemain golf dari New Zealand, Lydia Ko, yang berusia 17 tahun semasa dia mencapai ranking nombor satu dunia pada tahun 2015.

    Atthaya mengikuti Ko dan Woods untuk menjadi satu-satunya pemain golf (lelaki atau wanita), yang mencapai ranking nombor satu dunia sebelum hari lahir ke-22.

    “Menjadi nombor satu adalah satu tekanan. Saya tidak tahu berapa lama saya akan kekal menjadi juara nombor satu di dunia, tetapi sekurang-kurangnya ia hanyalah ranking,” katanya kepada pemberita di Klasik Jepun LPGA, selepas dia memukul 1-bawah par 71 kelmarin.

    “Apa yang perlu saya buat adalah dengan memperbaiki diri saya. Tidak kira di mana saya berada – nombor satu, 10, 20, mahupun 100 – saya hanya perlu cuba untuk memperbaiki diri dan menjadi diri saya sendiri ketika bermain, sebagai seorang insan dan sebagai seorang pesaing.”

    Atthaya mungkin tidak akan bermain golf langsung jika bukan kerana datuknya yang mencadangkan dia supaya meluangkan lebih banyak masa di luar sebagai satu langkah untuk mengelakkan penyakit yang selalu dihidapinya semasa kecil.

    Datuknya mencadangkan sama ada bermain golf atau tenis, di mana selepas Atthaya menonton video kedua-dua sukan tersebut, dia memilih golf sebagai pilihan yang kurang berat.

    Datang daripada keluarga yang tidak bermain golf, Atthaya perlu mencabar dirinya untuk berjaya. Namun, dia tidak mengambil masa yang panjang untuk meraih kejayaan. – AFP

    Aksi Atthaya Thitikul dari Thailand pada pusingan pertama kejohanan Klasik Jepun LPGA di Otsu, wilayah Shiga, Jepun, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Amaran ribut hujan tertinggi dikeluarkan

    BEIJING, 23 APRIL - Lebih 100,000 orang telah dipindahkan akibat hujan lebat dan banjir yang membawa maut di selatan China, dengan kerajaan mengeluarkan amaran...