SYDNEY, 1 Mac – Lebih 57,000 senjata api haram, kebanyakannya jenis senjata automatic atau semiautomatik, diserahkan di bawah langkah pengampunan yang dilaksanakan oleh kerajaan Australia untuk menjadikan negara itu lebih selamat, hari ini.
Kempen tiga bulan bagi menghapuskan senjata jalanan muncul semasa perdebatan mengenai reformasi senjata besar-besaran di Amerika Syarikat (AS) susulan insiden tembakan beramai-ramai di sekolah Florida.
Undang-undang tegas pemilikan senjata Australia, digubal selepas satu insiden tembakan besar-besaran pada 1996 yang mengorbankan 35 orang, sering dijadikan model untuk diikuti AS.
Sejak itu Australia tidak pernah mencatat insiden tembakan besar-besaran.
Pengampunan seluruh negara yang pertama sejak insiden penembakan beramai-ramai oleh Martin Bryant yang membawa senjata semi-automatik di tapak bersejarah Tasmania di Port Arthur 22 tahun lalu, mengumpul 57,324 senjata.

Bermula dari 1 Julai hingga 30 September tahun lalu, hampir 2,500 daripada senjata tersebut adalah automatik dan semi-automatik.
Menteri Penguatkuasaan Undang-undang Australia, Angus Taylor berkata ia merupakan contoh yang hebat dari apa yang dapat dicapai ‘apabila kerajaan dan orang awam Australia bekerjasama untuk menjadikan masyarakat kita lebih selamat’.
“Mendapatkan senjata api yang tidak berdaftar dari jalanan bermakna mereka tidak akan jatuh ke tangan penjenayah, yang mungkin menggunakannya untuk membahayakan nyawa penduduk Australia yang tidak bersalah,” katanya.
“Kerajaan komited untuk merampas senjata api haram dari masyarakat kita dan menangani jenayah berkaitan dengan senjata api.
“Langkah seterusnya dalam agenda utama kami ialah meluluskan undang-undang bagi mematahkan pengedaran senjata api.”
Antara barang-barang yang luar biasa diserahkan ialah senjata antik senapang mesin sten, yang terkenal digunakan oleh pasukan British semasa Perang Dunia Kedua, dan sebuah senjata kecil Perancis Garter.
Pelancar roket yang ditemui oleh pemilik di kawasan tempatan turut diserahkan. – AFP