SEREMBAN – Kes 1: Seorang anak damit perempuan yang masih bertali pusat dan uri ditemukan di sebuah pusat pengajian Islam di Selama, Perak, membawa kepada penahanan seorang remaja lelaki dan perempuan, masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, kerana disyaki membuang anak damit berkenaan.
Kes 2: Seorang anak damit lelaki berusia kira-kira seminggu ditemui berhampiran pantai Paka, Terengganu. Anak damit malang itu yang diletakkan di dalam sebuah beg dan ditinggalkan di dalam parit kering, nyaris digigit anjing sebelum ditemukan oleh seorang pemandu lori.
Kes 3: Di Taman Daya, Johor Bahru, seorang anak damit perempuan baru lahir ditemukan di atas anak tangga tingkat sembilan sebuah pangsapuri pada 11 Mac lepas.
Ketiga-tiga kes buang anak damit itu adalah contoh ‘mimpi buruk’ yang terus menghantui masyarakat di negara tersebut, yang dilaporkan dari semasa ke semasa, sama ada anak damit yang dibuang atau ditinggalkan itu masih bernyawa ataupun hanya sekujur tubuh kaku.
Di sebalik pelbagai usaha diambil oleh pihak berwajib dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan sosial, isu ini nampaknya masih belum dapat ditangani sepenuhnya, sekali gus menuntut pihak berwajib mengambil langkah yang lebih proaktif serta berkesan, untuk dilaksanakan dengan kadar segera.
STATISTIK KES BUANG ANAK DAMIT
Berdasarkan statistik rasmi yang diperolehi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk tempoh Januari hingga September 2024, sebanyak 75 kes pembuangan anak damit dilaporkan berbanding 96 kes untuk tempoh yang sama pada tahun 2023. Meskipun ada sedikit penurunan, ia perlu dilihat sebagai masih membimbangkan.
Data yang diperolehi seterusnya menunjukkan, daripada 75 kes yang dilaporkan itu (Januari -September 2024), 48 anak damit ditemui meninggal dunia dan 27 anak damit berjaya diselamatkan. Sementara untuk sepanjang tahun 2023, daripada 128 kes pembuangan anak damit, 58 anak damit ditemui hidup dan 70 anak damit ditemui meninggal dunia.
Manakala mengikut negeri, untuk tahun 2023, Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan sebanyak 38 kes, diikuti Sabah (21) dan Johor (14).
Bagi tempoh Januari hingga September 2024, negeri yang mencatat kes tertinggi pembuangan anak damit ialah Selangor (21) diikuti Johor (9) dan Perak (8).
Dari segi undang-undang pula, kes buang anak damit di Malaysia lazimnya disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan juga Kanun Keseksaan.
Lokasi kes pembuangan anak damit di Malaysia biasanya melibatkan tempat-tempat yang mudah dilalui, tersembunyi atau kurang tumpuan ramai.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Siti Kamsiah Hassan, lokasi pembuangan anak damit paling kerap ialah kawasan perumahan seperti luar rumah jiran, lorong belakang rumah dan taman permainan.
Hospital, klinik, masjid, tandas awam, pasar dan tong sampah turut menjadi tempat sasaran untuk meninggalkan atau membuang anak damit.
“Akses kepada CCTV (Televisyen Litar Tertutup) di kawasan awam dan rondaan kerap membantu mengenal pasti lokasi-lokasi risiko tinggi,” katanya kepada Bernama, menerusi jawapan bertulis.
Namun, penyelesaian kepada isu itu memerlukan lebih daripada sekadar pengawasan. Ia menuntut perubahan dalam sikap masyarakat terhadap kehamilan luar nikah dan penyediaan sokongan yang lebih menyeluruh kepada ibu dalam krisis.
KEHAMILAN LUAR NIKAH TABU YANG MEMBEBANKAN
Menurut Siti Kamsiah, stigma terhadap kehamilan luar nikah adalah antara faktor yang menjadi akar permasalahan menyebabkan ada yang bertindak nekad dan memilih tindakan yang lebih tragis.
“Stres, tekanan psikologi dan kurangnya sokongan emosi boleh mendorong individu membuat keputusan tidak rasional termasuk membuang anak damit,” katanya.
Faktor lain yang menyumbang kepada isu berkenaan adalah pendedahan meluas kepada bahan lucah dan unsur seksual di media sosial, terutamanya dalam kalangan remaja yang kurang didedahkan kepada pendidikan seksual yang menyeluruh.
PDRM, katanya, menyokong inisiatif seperti pusat perlindungan anak damit seperti baby hatch iaitu memberikan alternatif lebih selamat untuk ibu dalam krisis.
Namun, beliau menegaskan, masyarakat perlu difahamkan bahawa pusat perlindungan itu bukan menyokong kes kehamilan luar nikah atau seks bebas.
“Nasihat kepada ibu mengandung luar nikah turut diberikan bagi mendapatkan kaunseling daripada NGO, JKM atau hospital kerajaan sebagai langkah pencegahan awal untuk mengelakkan mereka memilih jalan pembuangan anak damit dan seterusnya kembali kepada cara hidup yang mengikut lunas agama dan budaya,”
Siti Kamsiah menekankan bahawa kes pembuangan anak damit diklasifikasikan jenayah serius di bawah Kanun Keseksaan dan tindakan undang-undang tegas dikenakan kepada pelaku termasuk hukuman penjara yang panjang atau hukuman denda.
BABY HATCH: SOLUSI KEMANUSIAAN
Mendepani isu ini, inisiatif baby hatch dilihat sebagai penyelamat nyawa yang memberi peluang kedua kepada anak damit-anak damit terbuang ini dengan memberikan individu yang terdesak pilihan yang lebih selamat dan manusiawi.
Baby hatch adalah ruang khas yang direka untuk membolehkan ibu meninggalkan anak damit mereka secara rahsia dan selamat. Ruang itu dilengkapi dengan alat pengesan yang memaklumkan petugas sebaik sahaja seorang anak damit diletakkan di dalamnya. Anak damit yang diselamatkan kemudiannya dimasukkan ke dalam program penjagaan anak angkat atau institusi yang sesuai.
Pegawai Eksekutif KPJ Seremban, Nor Aidil Ikram Muhamad bagaimanapun menegaskan, inisiatif baby hatch tidak sepatutnya dilihat sebagai galakan kepada tindakan tidak bermoral, sebaliknya lebih kepada usaha menyelamatkan nyawa.
“Fokus kami adalah untuk menyelamatkan anak damit tanpa sebarang prejudis. Paling penting anak damit itu tidak dibuang, tetapi diletakkan di sini dengan selamat,” katanya menambah, sejak tahun 2013, pusat perlindungan anak damit KPJ Seremban menyelamatkan 10 anak damit termasuk seorang anak damit yang dikesan dijangkiti HIV.
Menurut Nor Aidil Ikram, anak damit-anak damit yang diselamatkan akan dihantar ke hospital bagi saringan kesihatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan bekerjasama dengan Yayasan OrphanCare untuk memastikan anak damit tersebut ditempatkan dengan keluarga angkat yang sesuai.
Pengurus Besar Yayasan OrphanCare, Zakiah A Rahman pula berkata, isu pembuangan anak damit perlu ditangani dengan pendekatan menyeluruh dan bukan sekadar menghukum.
“Masyarakat perlu bersatu dalam memberikan sokongan dan bantuan kepada mereka yang berdepan dengan kehamilan tidak dirancang agar tindakan lebih tragis dapat dielakkan,” katanya.
Sejak inisiatif itu dilaksanakan pada tahun 2008, lebih 600 anak damit diselamatkan oleh NGO itu melalui lapan baby hatch yang terdapat di seluruh Malaysia.
OrphanCare turut menyediakan program sokongan khas kepada ibu yang berdepan dengan kehamilan tidak dirancang dengan memberi bimbingan kepada mereka, bermula dari fasa awal kehamilan, termasuk membuka buku pink, penjagaan sebelum dan selepas bersalin, serta menyediakan kelengkapan anak damit sehingga anak itu berusia setahun.
“Kami sentiasa menasihati ibu-ibu ini supaya berfikiran realistik dan mengutamakan kebajikan anak mereka,” katanya. – Bernama