MELBOURNE, 21 JAN – Paula Badosa yang penuh emosi mara ke separuh akhir Grand Slam sulungnya di Terbuka Australia hari ini.
Pilihan ke-11 Sepanyol itu mengejutkan pemain nombor tiga dunia Coco Gauff 7-5, 6-4 pada perlawanan suku akhir di Melbourne menjadikannya wanita Sepanyol pertama mara ke separuh akhir Grand Slam sejak Garbine Muguruza, juga di Melbourne, pada 2020.
Beliau turut menggambarkan bagaimana dia hampir berhenti tenis tahun lalu kerana kecederaan belakang yang kronik.
“Saya agak emosi,” kata Badosa yang berusia 27 tahun, yang akan menentang juara bertahan dua kali Aryna Sabalenka atau Anastasia Pavlyuchenkova untuk tempat ke final.
“Saya seorang yang sangat emosional. Saya mahu bermain permainan terbaik saya. Saya rasa saya berjaya melakukannya. Saya sangat berbangga dengan tahap yang saya berikan hari ini.”
Pencapaiannya menunjukkan kemunculan semula yang luar biasa untuk pemain tenis nombor 12 dunia, yang tahun lalu kedudukannya berada di luar 100 teratas selepas patah tulang belakang.
“Setahun lalu saya berada di sini dengan masalah belakang saya yang menyebabkan saya pun tidak tahu sama ada perlu bersara daripada sukan ini,” kata Badosa.
“Saya terfikir untuk berhenti semasa menerima suntikan kerana mereka memberitahu saya ada maksimum tiga tahun (untuk bermain) dan saya sudah berada di peringkat kedua pada bulan keempat tahun itu,” kata Badosa kepada pemberita.
“Ia agak teruk untuk saya dan juga bahagian belakang masih sakit. Jadi pada masa itu saya benar-benar tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Selepas kejohanan di Madrid, ia sangat sukar untuk saya apabila ditambah masalah belakang, mental dan segala-galanya.”
Rankingnya kini akan naik semula ke 10 teratas selepas Melbourne.
“Saya berada di separuh akhir, saya tidak akan menyangka setahun selepas saya akan berada di sini,” katanya.
Badosa berjaya menewaskan pilihan ketiga Gauff dalam tempoh masa 1 jam 43 minit menjadikan kemenangan pertamanya menentang pemain 10 terbaik di Grand Slam. – AFP