Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Bagaimana pintarnya bandar kita pada masa hadapan?

    KUALA LUMPUR – Lebih 68 peratus penduduk dunia akan menjadikan bandar sebagai tempat kediaman mereka menjelang 2050, yang dijangka turut melonjakkan pelepasan karbon dioksida (CO2) global semasa di kawasan berkenaan daripada 75 peratus pada masa ini, demikian menurut Our World in Data 2019.

    Berdasarkan Penunjuk Pembangunan Dunia, Bank Dunia itu, Malaysia juga menunjukkan trend demikian dengan 78 peratus penduduknya pada tahun lalu (2022) tinggal di enam bandar raya besar termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Melaka.

    Semakin ramai juga yang fokus untuk menjadi komuniti pintar, memandangkan keadaan global yang ‘rapuh’ dan penekanan kepada penggunaan inovasi digital bagi mewujudkan masa depan yang lebih selamat dan mampan untuk kesejahteraan hidup mereka.

    Penekanan Malaysia terhadap bandar serta komuniti pintar juga semakin meningkat, sejajar dengan trend global.

    Ini boleh dilihat apabila saiz Pasaran Bandar Pintar mengatasi AS$511.6 bilion pada 2022 dan dijangka mencatat kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 14.9 peratus mencecah lebih AS$1024.4 bilion menjelang penghujung 2027, demikian menurut Markets and Markets Report 2022.

    Nga bergambar ramai sambil menunjukkan Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar. – Bernama
    Salah satu contoh bangunan hijau di Lembah Kelang ialah Musalla Al Abrar di Jalan Sungai Penchala, Segambut. – Bernama
    Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa melancarkan NETR baru-baru ini. – Bernama

    Bagaimanapun, adakah bandar pintar penyelesaian terbaik untuk memperbaiki kualiti hidup terutama di kawasan selain Lembah Klang? Tambahan, seramai 26 juta atau 80 peratus rakyat Malaysia akan menjadi penghuni bandar menjelang 2030.

    Ketika kita mengalami pertumbuhan pesat dari segi ekonomi dan penduduk, begitu juga peningkatan dalam penggunaan tenaga dan sumber yang juga bermakna menjana jumlah sisa yang tinggi.

    KECEKAPAN TENAGA, ‘BANGUNAN HIJAU’

    Presiden Malaysia Green Building Council, Dr Serina Hijjas menekankan, terdapat pelbagai definisi Bandar Pintar, terutamanya di Eropah, di mana fokus adalah terhadap elemen seperti ekonomi pintar, kewangan pintar, tadbir urus yang cekap serta perancangan komprehensif. Kesemua elemen berkenaan bertujuan meningkatkan kualiti kehidupan penduduk.

    “Pada pandangan saya, permulaan (menubuhkan bandar pintar) adalah mewujudkan bandar yang boleh didiami dan mampan dengan teknologi digital yang akan dapat meningkatkan perubahan bandar yang dinamik. Kami dapati terdapat lambakan inisiatif seperti itu bagi mencetuskan transformasi dan bertindak sebagai pemangkin terutama dalam membentuk semula matriks tenaga serta memperbaiki mobiliti trafik.

    “Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah bagaimana integrasi ini boleh menjadi komponen penting dalam penghantaran tenaga, meningkatkan mobiliti serta mewujudkan ruang yang boleh didiami di bandar,” katanya sewaktu perbincangan panel bertajuk Bandar Hijau Masa Depan daripada Pandangan Arkitek di persidangan Energy Transition Conference 2023, anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB).

    Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meramalkan, dua pertiga daripada penduduk dunia akan tinggal di bandar menjelang 2050, yang bermakna akan timbul beban besar untuk sumber serta penggunaan tenaga yang tinggi.

    Oleh itu, adalah wajar untuk membangunkan bandar pintar serta memberi fokus kepada lebih banyak bangunan yang cekap tenaga dan mampan, terutama memandangkan sektor bangunan menggunakan sekitar 40 peratus daripada keseluruhan tenaga di Malaysia.

    Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysia akan melihat sebanyak RM6 bilion nilai pelaburan dari sekarang hingga 2040 bagi memperbaiki kecekapan tenaga untuk mencapai sasaran purata 21 peratus penjimatan tenaga menjelang 2040 di bawah Peta Jalan Transisi Energi Nasional (NETR).

    Mengambil Bandar Iskandar, Johor sebagai contoh bandar pintar, Serina berkata mobiliti adalah penyumbang terbesar gas rumah hijau (GHG) di kawasan berkenaan.

    “Dalam konteks membangun bandar pintar, matlamat utama adalah untuk mewujudkan ruang yang boleh didiami dan mampan. Sebagai tambahan, fokus kedua adalah meningkatkan perhubungan ke arah teknologi 5G dan menggunakan platform seperti the Internet of Things (IoT).

    “Bandaraya Kuala Lumpur telah mengorak langkah dengan IoT, analisis data dan konsep dikenali sebagai ‘digital berkembar’ yang membolehkan kita secara maya meramalkan cabaran serta keperluan pada masa hadapan,” katanya.

    Menurut beliau, satu lagi aspek penting ialah mendukung kepintaran alam sekitar yang mengintegrasikan solusi berasaskan semula jadi dalam lingkungan alam sekitar yang dibina, ini dapat dilihat di Singapura di mana bangunan dibina tanpa menjejaskan alam sekitar.

    “Pembinaan pintar melibatkan pengurusan tenaga, sisa dan bahan di bawah rangka kerja Prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Kami secara aktifnya menimbangkan skop pelepasan 1, 2, dan 3, memfokuskan kepada kecekapan bahan dan sisa bagi mengurangkan pelepasan karbon dan mitigasi perubahan iklim,” katanya.

    TUKAR BANGUNAN TUA

    Dalam masa jangka panjang, ‘bangunan hijau’ dijangka dapat memberi penjimatan ekonomi dari segi kecekapan tenaga.

    Serina, yang juga pengarah kanan dan arkitek Hijjas Kasturi Associate Sdn Bhd, menyatakan bahawa penyumbang paling utama penggunaan tenaga adalah bangunan, meliputi ruang kediaman dan pejabat.

    “Setakat ini, bukan menjadi mandatori di Malaysia untuk mendukung amalan hijau. Kemungkinan, Singapura adalah satu-satunya negara di dunia yang mewajibkan amalan hijau.

    “Saya percaya fokus kepada kecekapan tenaga akan dapat membantu merapatkan jurang semasa. Terdapat peluang besar untuk perubahan iaitu kita dengan mudah boleh mencapai 40 hingga 50 peratus pembaikan dalam kecekapan tenaga di dalam bangunan hari ini,” katanya.

    Serina menambah, untuk mengurangkan permintaan tenaga dalam inisiatif bandar pintar, adalah penting untuk mengutamakan menukar bangunan sedia ada kepada struktur yang lebih cekap tenaga.

    “Permulaan yang baik adalah NETR dan sebagai pemangkin untuk perubahan. Pengiraan kita menunjukkan pengurangan sebanyak 10 megaton bersamaan dengan tiga peratus daripada jumlah metrik tan GHG,” katanya.

    TINGKATKAN RANGKA KERJA BANDAR PINTAR MALAYSIA (RKBPM)

    Pada September lalu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kementerian beliau menjadikan Bandar Pintar sebagai inisiatif strategik bagi menangani cabaran utama dalam menjadikan bandar di Malaysia lebih produktif, kompetitif, mampan dan boleh didiami untuk generasi masa ini dan masa depan.

    Konsep Bandar Pintar diwujudkan dalam Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia (RKBPM) pada 2018 iaitu komponen penting untuk mencapai 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan menjadi negara mampan menjelang 2030.

    Nga berkata, inisiatif Bandar Pintar perlu dipercepatkan bagi menggalakkan persekitaran yang lebih selamat dan amalan pengurusan bandar yang lebih cekap dan dalam masa yang sama, menekankan kepentingan penggunaan teknologi maklumat sebagai sebahagian daripada penyelesaian pengurusan bandar.

    Pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Seri Iskandar, Dr Lim Seng Boon berkata, RKBPM menyasarkan membuat draf 16 dasar, 36 strategi dan 112 inisiatif serta pelbagai petunjuk komponen bandar pintar.

    Beliau berkata, salah satu hasil penyelidikan RKBPM ialah untuk menjadikan bandar pintar Malaysia setaraf dengan bandar pintar global terutama daripada segi faktor kompetitif di mana terdapat keperluan untuk mengejar atau mengikut yang lain, di satu tahap didorong kemajuan teknologi orang lain.

    “Malaysia perlu fokus kepada membina sebuah negara bersatu yang melibatkan semua rakyat dengan keutamaan kepada hak bersama mengatasi hak individu dan kerajaan yang mengamalkan tadbir urus participatory,” katanya.

    BANDAR PINTAR LEBIH INKLUSIF

    Perunding bandar Pintar berpangkalan di Eropah, Stephane Pean memberitahu Bernama, bandar pintar bukan sahaja tentang teknologi tetapi juga orang yang tinggal di dalamnya.

    “Bandar pintar adalah bandar yang menggunakan inovasi, data dan teknologi, yang akan membentuk persekitaran bandar yang lebih inklusif untuk didiami yang memberi manfaat kepada semua warganegara atau penduduk yang mendiami bandar berkenaan,” katanya.

    “Kemampanan adalah sebahagian daripada asas pembangunan mana-mana pembangunan Bandar Pintar yang prosedurnya seperti pemulihan, regenerasi atau baik pulih bangunan adalah jelas dengan 17 SDG UN, ” katanya.

    Pean, yang juga bekas perancang bandar berkata, membina bandar pintar tidak selalunya bersamaan dengan teknologi canggih atau yang lebih besar. Hakikatnya, apa yang lebih dihargai ialah penyelesaian berasaskan alam semula jadi, inovasi akar umbi dan teknologi rendah tetapi mempunyai kesan yang tinggi, yang dapat menyelesaikan masalah tempatan dengan menggunakan juga pengetahuan Orang Asli dan memperkasakan rakyat.

    “Perancang bandar boleh melibatkan komuniti dan pihak berkuasa tempatan untuk mengenal pasti keperluan serta keutamaan mereka dan membangunkan penyelesaian yang menangani isu tertentu.

    “Pendekatan ini boleh menghasilkan penyelesaian yang lebih inklusif dan efektif kerana ia memperkasakan komuniti untuk memainkan peranan aktif dalam membentuk bandar mereka sendiri,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...