Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Inovasi hotel dalam bas

    JEPUN – Tokai Jidosha, sebuah syarikat pengangkutan Jepun, telah menggunakan semula pengangkutan bas dan pejabat tiket yang telah lama tidak beroperasi bagi menyediakan satu pilihan penginapan yang unik di bandar Nishi-Izu, Shizuoka.

    Ia dipanggil Bustay, iaitu gabungan perkataan bus dan stay, yang berbunyi seperti perkataan Jepun untuk ‘perhentian bas’. Tidur di atas katil di dalam bas itu dianggap sebagai satu peluang yang jarang berlaku.

    Jika ditinjau dari sudut luarannya, ia kelihatan seperti bas dari tahun 1960an atau 1970an.

    Apabila enjin bas dimatikan tetamu boleh berpura-pura memandu kenderaan. Selain itu, mereka juga boleh menekan butang berhenti dan mengumumkan perhentian seterusnya.

    Bas hotel itu telah dibuka pada 17 November lalu dan ia boleh memuatkan sehingga lima orang tetamu setiap malam.

    Satu-satunya bas hotel yang terdapat di Nishi-Izu. – ANN/The Straits Times
    Seorang wanita seolah-olah menjadi pemandu di dalam bas hotel itu. – ANN/The Straits Times
    Ruang tidur yang tersedia di dalam bas hotel yang dilengkapi dengan tiga buah katil. – ANN/The Yomiuri Shimbun

    Bas tersebut menyediakan ruang tidur di mana tempat duduk di belakang telah diubah suai dan digantikan dengan tiga buah katil bagi menjadikannya ruang tidur yang boleh menampung tiga orang.

    Di sebelah bas adalah pejabat tiket yang telah dibina pada tahun 1950 dan telah beroperasi sehingga Mac 2022. Ruang yang terdapat dalam bangunan tersebut boleh memuatkan dua orang.

    Bangunan satu tingkat itu berkeluasan 72 meter persegi, dan telah dilengkapi dengan ruang makan, bilik mandi dan tandas.

    Kadar bagi penginapan secara berkumpulan ialah bermula dari 34,000 yen (AS$310), tidak termasuk makanan.

    Bas hotel itu juga mempunyai dapur di mana tetamu boleh memasak makanan mereka sendiri. Dengan tempahan awal, mereka juga boleh menerima makanan laut segar dan bahan-bahan dari tempat makanan yang dibina berdekatan dengan hotel tersebut.

    Sebelum ia menjadi sebuah bas hotel, ia telah digunakan sebagai pengangkutan awam yang beroperasi di Shizuoka dari 1999 hingga April 2023, dan ia boleh memuatkan seramai 52 orang penumpang dan seorang pemandu.

    Tokai Jidosha telah mempertimbangkan terhadap projek untuk menukar bas yang tidak digunakan kepada kemudahan penginapan sejak dua setengah tahun yang lalu.

    Semasa pandemik COVID-19, jumlah penumpang syarikat itu telah menurun sebanyak 40 peratus dan ia memaksa pengendali supaya menyemak semula rancangan untuk mengemas kini kenderaannya.

    Tokai Jidosha menjangkakan Bustay akan membantu untuk menghidupkan semula Nishi-Izu, di mana kira-kira separuh daripada populasinya yang semakin berkurangan adalah terdiri daripada warga emas.

    Kawasan sekitar Bustay menempatkan pelbagai destinasi pelancongan, termasuk pantai dan tempat peranginan onsen.

    Pengangkutan bas juga diperlukan untuk perjalanan ke Bustay kerana stesen kereta api terdekat, Stesen Kereta Api Shuzenji Izuhakone, terletak sangat jauh iaitu mengambil masa kira-kira 70 minit untuk sampai ke sana.

    Jadi jangan terlepas peluang untuk mencubanya, dan pastikan awda tidak terlepas perhentian di sepanjang perjalanan! – ANN/The Straits Times

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...