Saturday, July 27, 2024
32.3 C
Brunei

    -

    Pencipta menara Perancis yang mencetuskan kegilaan bangunan pencakar langit

    PARIS – Jurutera dan usahawan Perancis, Gustave Eiffel akan dikenang selama-lamanya kerana membina menara yang sangat digemari yang telah mendominasi langit Paris selama lebih satu abad.

    Namun, bapa kepada Menara Eiffel itu juga mereka bentuk beratus-ratus mercu tanda lain di seluruh dunia, malah telah mempatenkan sistem ‘jambatan’ bawah air untuk berjalan di bawah Selat.

    Berikut adalah lima perkara yang perlu diketahui tentang jurutera dan pencipta tersebut, yang meninggal dunia lebih 100 tahun lalu pada 27 Disember 1923, pada usia 91 tahun.

    MENARA BONICKHAUSEN?

    Eiffel mereka bentuk menara yang akan membawa namanya untuk Pameran Dunia di Paris pada tahun 1889.

    Tetapi menara yang melambangkan Perancis itu, boleh sahaja dengan mudah mempunyai nama Jerman.

    Gabungan empat keping gambar pembinaan Menara Eiffel. Dari kiri ke kanan, gambar Menara Eiffel diambil pada 14 Jun 1888, 10 Julai 1888, 26 Disember 1888 dan 20 Januari 1889. – AFP
    Jejambat Garabit di perkampungan Ruynes-en-Margeride tengah Perancis dilihat dalam landskap bersalji pada 15 Disember 2008. Jejambat itu dibina oleh Gustave Eiffel pada tahun 1884, lima tahun sebelum Menara Eiffel dibina. – AFP
    The Invalides (belakang kiri) dan Menara Eiffel, mendominasi ibu kota Perancis, Paris yang dilihat dari Katedral Notre-Dame-de-Paris pada 11 April 2019. – AFP
    Patung Gustave Eiffel digambarkan di hadapan tiang utara Menara Eiffel di Paris pada 31 Julai 2014. – AFP
    Foto bertarikh 22 Disember 2023 menunjukkan pemandangan malam jambatan Dom Luis I, di Porto, yang merentasi sungai Douro, yang direka oleh Gustave Eiffel. – AFP

    Hal ini kerana Eiffel, yang mempunyai keturunan Jerman, dilahirkan sebagai Alexandre Gustave Bonickhausen dit Eiffel pada tahun 1832 di Dijon tetapi beliau menggugurkan bahagian Jerman dalam nama keluarganya selepas perang Franco-Prusia 1870 kerana bimbang ia boleh merosakkan kerjayanya.

    Didirikan dalam masa yang singkat, ‘Wanita Besi’ 7,000 tan setinggi 300 meter itu adalah struktur buatan manusia tertinggi di dunia selama 40 tahun.

    Mengulas mengenai tempatnya dalam sejarah, Bureau International d’Expositions, yang menganjurkan Ekspo Dunia, berkata ia ‘menandakan kemuncak seni bina besi, dan menetapkan rentak untuk kegilaan pencakar langit yang akan menyusul pada abad ke-20’.

    PROJEK DI LIMA BENUA

    Menara itu dibina menjelang penghujung kerjaya Eiffel, di mana beliau telah membina sekitar 500 struktur di lima benua.

    Dia membina reputasinya sebagai pembina jambatan kereta api tetapi dia juga menggunakan kepandaian logamnya untuk membina stesen kereta api Pest di Hungary, rumah api di Finland dan Madagascar, struktur Pejabat Pos Pusat Saigon di bandar Ho Chi Minh dan rangka besi Patung Liberty di New York.

    Dia juga mereka bentuk jambatan mudah alih, yang dihantar ke seluruh dunia dalam bentuk kit.

    TEROWONG SELAT 100 TAHUN LEBIH AWAL

    Sentiasa penuh dengan idea, Eiffel mencadangkan untuk membina apa yang disifatkannya sebagai jambatan di bawah Selat untuk menghubungkan Perancis dengan Britain.

    Reka bentuknya pada tahun 1890 membayangkan sistem tiub logam bersalut konkrit yang dibina di atas sokongan yang terletak di dasar laut.

    Projek itu tidak pernah menjadi kenyataan, tetapi 104 tahun kemudian, Terowong Selat yang menghubungkan Britain dan Perancis, di mana panjangnya bersamaan dengan 169 Menara Eiffel diletakkan hujung ke hujung, telah dilancarkan dengan meriah.

    KEGAGALAN PANAMA

    Tidak hanya bekerja sebagai seorang jurutera, Eiffel juga merupakan seorang usahawan.

    Pada tahun 1887, syarikatnya memenangi kontrak untuk membina pintu air untuk Terusan Panama – perjanjian terbesar dalam kerjayanya.

    Tetapi pengurusan yang lemah oleh Ferdinand de Lesseps, orang Perancis yang telah menyelia Terusan Suez yang berjaya, menyebabkan projek itu gagal, mengakibatkan salah satu skandal kewangan terbesar pada abad ke-19.

    De Lesseps dan Eiffel kedua-duanya dituduh melakukan penipuan dan dijatuhi hukuman penjara dan denda yang tinggi.

    Walaupun hukuman mereka kemudiannya dibatalkan, reputasi Eiffel telah terjejas dan beliau bersara daripada perniagaan.

    RADIO EIFFEL

    Dia mendedikasikan 30 tahun terakhir hidupnya untuk penyelidikan saintifik, dengan tumpuan khusus pada meteorologi dan aerodinamik.

    Terowong angin yang dibinanya di hangar di kaki Menara Eiffel digunakan untuk menguji lebih 20 pesawat.

    Ia masih digunakan hari ini oleh industri pembinaan, penerbangan, perkapalan dan automotif untuk menguji kesan angin dan udara.

    Dia juga menggunakan penyelidikan untuk menyelamatkan menaranya yang terkenal, yang dibina dengan pemahaman bahawa menara tersebut akan diruntuhkan selepas 20 tahun.

    Dia memasang stesen meteorologi di tingkat tiga, yang mana penambahan antena radio gergasi pada tahun 1921 telah menyelamatkan menara beliau daripada diruntuhkan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...