Monday, May 20, 2024
28.6 C
Brunei

    -

    Bahan buangan sumber rezeki penduduk miskin Argentina

    ARGENTINA – Ayelen Torres dengan mahir mengendalikan trolinya mencelah-celah melalui jalan-jalan di pinggir ibu negara Argentina, berhenti setiap beberapa langkah untuk menyelongkar sampah mencari kadbod atau plastik yang boleh dikitar semula.

    Dia adalah sebahagian daripada sekumpulan cartoneros – puluhan ribu penduduk Argentina miskin yang mencari bahan di jalan untuk dijual dan membeli makanan.

    Sejak pandemik dan krisis ekonomi yang telah menyaksikan inflasi tahunan mencecah 138 peratus dan mendorong kadar kemiskinan naik 40 peratus, bilangan mereka yang beralih kepada industri kitar semula tidak rasmi telah meningkat pesat.

    “Saya fikir ia adalah pekerjaan yang sangat dihina tetapi, pada masa yang sama, ia adalah pekerjaan yang baik, mengutip sesuatu bermaksud bagaimana ia membantu alam sekitar.

    “Kekuatan yang awda perlukan adalah keberanian, kerana di jalan awda akan berhadapan dengan banyak perkara,” kata Torres, 25.

    Pekerja cartoneros bekerja di Cooperativa Construyendo Desde Abajo di San Justo, La Matanza, wilayah Buenos Aires. – AFP
    Torres dan Sosa berbangga dengan pekerjaan mereka, yang telah dipuji oleh Pope Francis, seorang warga Argentina sendiri, sebagai pekerjaan ekologi yang diperlukan. – AFP
    Gambar AFP
    Sejak menyertai koperasi Construyendo desde Abajo (Membina dari Bawah), kedua-dua wanita itu mempunyai pekerjaan berdaftar pertama dalam hidup mereka. – AFP
    Ayelen Torres berhenti setiap beberapa langkah untuk menyaring sampah mencari kadbod atau plastik yang boleh dikitar semula. – AFP

    Dia mempunyai harapan yang besar bahawa pilihan raya presiden baru-baru ini akan mengubah sesuatu untuknya.

    “Sesiapa yang menang, saya tetap perlu bangun pada pukul enam pagi untuk mencari bahan kitar semula”, kata Torres.

    Ibu kepada dua orang anak itu bekerja dalam satu kumpulan bersama Sabrina Sosa, yang terus mengangkut beg berat walaupun dia hamil tiga bulan.

    Dalam beberapa jam, kedua-dua wanita itu mengumpul 76 kilogram bahan. Pada hari yang baik, mereka boleh menggandakan jumlah itu, begitu juga pendapatan mereka.

    Pergerakan ‘cartonero’ bermula di Argentina selepas kejatuhan ekonomi pada tahun 2001 apabila krisis kewangan menyebabkan pihak berkuasa membekukan deposit bank, dan rusuhan sosial ganas meletus.

    Mereka menghadapi tentangan sengit daripada pihak berkuasa dan penduduk di ibu negara yang tidak mahu mereka mengutip sampah.

    Dua puluh tahun kemudian, terdapat sebuah persekutuan, Faccyr, dengan 20,000 orang pengutip individu yang bekerja untuk 145 koperasi yang membeli sisa buangan tersebut dan menjualnya kepada industri kitar semula.

    Dengan kadar harga yang berbeza untuk kaca, kadbod, kertas atau plastik, koperasi membayar antara 10 dan 90 peso sekilo.

    Dalam bulan yang baik, dan dengan mengira subsidi kerajaan yang kecil, Torres dan Sosa memperoleh kira-kira 132,000 peso setiap seorang – bersamaan dengan gaji minimum.

    Sosa mula melakukan pekerjaan itu untuk mencukupkan belanja di antara pekerjaan sambilan yang lain – menjaga anak di sini, menjadi pelayan di sana, sentiasa bekerja secara tidak rasmi. Di Argentina, hampir 47 peratus pekerjaan tidak formal atau sebahagiannya dikawal.

    Sejak menyertai koperasi Construyendo desde Abajo (Membina dari Bawah), kedua-dua wanita itu mempunyai pekerjaan berdaftar pertama dalam hidup mereka.

    “Kadbod adalah rezeki harian kami,” kata Sosa.

    Menurut Faccyr, lebih daripada 150,000 orang bekerja sebagai cartoneros.

    “Jumlah itu terus meningkat,” kata Santiago Britez, 42, yang pernah mengumpulkan barangan kitar semula dan kini menguruskan beberapa puluhan pekerja di koperasi itu.

    Semasa pandemik “terdapat satu sektor masyarakat yang tidak mempunyai sumber. Ramai yang bekerja secara tidak rasmi kehilangan segala-galanya.”

    Ketika krisis ekonomi Argentina menjadi semakin teruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ‘seluruh isi keluarga telah muncul, bersama anak-anak,’ di tempat pembuangan terbuka, mencari barang untuk dijual malah makanan, kata Jackie Flores, seorang pegawai alam sekitar di wilayah Buenos Aires yang sendiri pernah bekerja sebagai cartonera.

    “Ia merupakan satu cabaran yang besar,” tambahnya.

    Torres dan Sosa berbangga dengan pekerjaan mereka, yang telah dipuji oleh Pope Francis, seorang warga Argentina sendiri, sebagai pekerjaan ekologi yang diperlukan.

    “Buat pertama kali saya mempunyai pekerjaan yang bermaruah,” kata Torres.

    “Pada Hari Buruh, anak perempuan saya melukis gambar saya untuk sekolah dengan troli saya yang penuh dengan kadbod dan menulis: Ibu saya bekerja untuk alam sekitar,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...