Wednesday, February 12, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baiduri anjur inisiatif Ramadan di Tutong

    Oleh Nurdiyanah R.

    TUTONG, 6 APRIL – Susulan kejayaan acara membeli-belah dan berbuka puasa untuk keluarga kurang bernasib baik di Daerah Belait, Bank Baiduri telah meneruskan lagi inisiatif Let’s Give Back This Ramadan di Daerah Tutong, kelmarin, yang berlangsung di Gedung Membeli-belah Hua Ho, Petani Mall.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri, sebanyak 10 buah keluarga terpilih telah berpeluang mengikuti aktiviti membeli-belah dengan bantuan sukarelawan bank berkenaan.

    Golongan keluarga berkenaan telah dikenal pasti melalui kerjasama Kementerian Pendidikan manakala Setia Motors Sdn Bhd turut menjadi rakan kongsi logistik khususnya dari segi bantuan menjemput keluarga-keluarga berkenaan dari rumah dan menghantar mereka pulang pada akhir acara.

    Hadir bagi menyaksikan pelaksanaan inisiatif berkenaan ialah Ketua Pemasaran Strategik dan Komunikasi Kumpulan, Ng Yick Wei yang antara lain berkata bahawa inisiatif sedemikian memberi peluang kepada para sukarelawan bank berkenaan untuk menyumbang impak positif kepada masyarakat setempat melalui perkongsian aktif bersama perniagaan tempatan dan sektor awam.

    “Dengan semangat jalinan bersama (co-creation), tahun ini kami telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mengenal pasti keluarga yang memerlukan, serta Setia Motors untuk membantu keluarga ini dengan pengangkutan.

    ATAS & BAWAH: Antara keluarga terpilih yang ikut serta dalam aktiviti membeli-belah bersama sukarelawan bank.

    “Tahun lepas kami tidak dapat bertemu dengan keluarga secara peribadi kerana wabak, jadi kali ini kita dapat membeli-belah dengan mereka dan meluangkan masa berbuka puasa bersama-sama adalah tindakan yang bermakna untuk sukarelawan kami,” ujarnya.

    Beliau menambah, mereka berharap sumbangan tersebut dapat membawa keceriaan perayaan kepada keluarga-keluarga berkenaan semasa mereka membuat persiapan untuk perayaan Hari Raya yang bakal menjelang.

    Turut hadir pada acara berkenaan ialah Ketua Bahagian Kewangan Kumpulan, Chris Ang; Ketua Pematuhan Kumpulan, Wan Ahadiatul Hussni Wan Silmy; dan Ketua Jabatan Risiko Kumpulan, Jonathan Lim.

    Kenyataan menjelaskan bahawa inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha yang lebih meluas oleh Bank Baiduri untuk menyokong masyarakat melalui pelbagai inisiatif, termasuk kesihatan kewangan, keusahawanan dan kelestarian alam sekitar.

    Acara sedemikian akan diteruskan lagi di Gedung Membeli-belah Hua Ho, One City, khusus bagi golongan keluarga kurang berkemampuan yang terpilih dari Daerah Temburong pada 12 April depan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda