Friday, January 17, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baiduri hulur sumbangan kepada petugas barisan depan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Baiduri

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Petugas barisan hadapan perubatan yang terlibat dalam menangani penularan wabak COVID-19 terus mendapat perhatian daripada masyarakat yang tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan bakti mereka dalam suasana yang luar biasa pada masa ini.

    Sehubungan dengan itu, sebagai sebahagian daripada rangka kerja tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), Kumpulan Bank Baiduri menyumbangkan sebanyak 100 set tambahan barangan dapur mingguan bagi para petugas barisan hadapan perubatan yang terlibat dalam menangani penularan wabak COVID-19.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, hari ini, penyerahan sumbangan berkenaan berlangsung di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong, hari ini.

    Pusingan kedua sumbangan yang dihulurkan oleh kumpulan berkenaan dihasratkan dapat meringankan bebanan serta tekanan ke atas kakitangan perubatan yang bertungkus-lumus bertugas mengikut syif untuk menangani wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

    Kenyataan itu menjelaskan lagi bahawa sumbangan yang merangkumi 100 set barangan keperluan dapur dan rumah mingguan diserahkan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha kepada Ketua Pegawai Eksekutif Hospital PMMPMHAMB, Awang Abdul Muiz bin Haji Ibrahim.

    Turut hadir semasa penyampaian sumbangan berkenaan ialah Ketua Perbendaharaan Kumpulan dan Institusi Perbankan, Awangku Nor Muhd Nizam bin Pengiran Haji Tengah dan Pegawai Komunikasi Kanan, Awang Muiz bin Dato Paduka Haji Adnan.

    Gambar ramai pegawai Kumpulan Bank Baiduri bersama Awang Abdul Muiz selepas penyerahan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di Hospital PMMPMHAMB.
    Antara barangan makanan dengan mesej memberi semangat yang diserahkan oleh Kumpulan Bank Baiduri.

    Pengiran Azaleen dipetik menyatakan bahawa terdapat ramai petugas yang bekerja keras di kesemua pusat rawatan dan menabur bakti kepada masyarakat dalam usaha menangani wabak COVID-19.

    Petugas barisan hadapan perubatan, jelasnya lagi, bertugas 24 jam merawat dan menjaga pesakit-pesakit di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan hospital di Tutong.

    Beliau menambah bahawa Kumpulan Bank Baiduri juga memainkan peranan sebagai warga korporat untuk membantu meringankan beban mereka menerusi sumbangan yang dihulurkan itu.

    “Kami yakin bahawa petugas barisan hadapan itu mungkin tidak mempunyai masa untuk membeli-belah. Usaha kami ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada awda semua semasa keadaan yang mencabar ini,” jelasnya.

    Sumbangan itu diagih-agihkan kepada doktor dan jururawat di kawasan-kawasan rehat mereka oleh sekumpulan sukarelawan, jelas kenyataan itu lagi.

    Sumbangan yang dihulurkan, merupakan sebahagian daripada program CSR Kumpulan Bank Baiduri yang telah dikembangkan untuk meliputi mereka yang memerlukan semasa COVID-19.

    Pusingan pertama sumbangan telah diadakan di Kompleks Sukan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, minggu lalu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda