Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baik salah, jahat pun salah

    Baru-baru ini, pembantu rumah saya, Susanti (bukan nama sebenar) telah melarikan diri.

    Semasa hari kejadian, dia pada awalnya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda hendak melakukan perbuatan itu.

    Seperti kebiasaannya, saya akan berehat di dalam bilik tidur di tingkat atas selepas menghantar anak sulung saya ke sekolah. Hal ini kerana saya bekerja pada syif petang dan biasanya akan pulang ke rumah pada tengah malam. Jadi, pada pagi tersebut, selepas bersarapan bersama anak kedua saya, saya akan membiarkan anak saya yang baru berusia tiga tahun itu di bawah jagaan Susanti sementara saya mendapatkan rehat secukupnya.

    Alangkah terkejutnya saya, dua jam kemudian, saya terjaga daripada tidur kerana mendapati anak kedua saya sedang berdiri di atas kerusi untuk memanjat pagar yang kami pasang di tangga bagi menghalang anak damit melepasinya.

    Saya bingkas bangun dari atas katil dan segera mendukung anak saya. Agak menghairankan kerana kipas dan penyaman udara di situ tidak dihidupkan. Anak saya dibiarkan keseorangan kerana saya langsung tidak nampak batang hidung Susanti di situ.

    Gambar Freepik

    Kemudian, saya bertanyakan kepada isteri saya mengenai keberadaan Susanti. Ternyata dia pun tidak tahu di manakah Susanti berada pada masa itu. Lantas isteri saya memeriksa CCTV dan mendapati Susanti telah lama melarikan diri kira-kira sejam lebih awal! Anak saya dibiarkan keseorangan, dalam kepanasan, tanpa diawasi oleh orang dewasa.

    Saya berasa sungguh sedih, tertekan dan terkilan kerana selama ini kami menjaga Susanti dengan sangat baik. Kami menyediakan sebuah rumah batu khas untuknya yang lengkap dengan katil, almari pakaian, kipas angin, pemanas air dan penyaman udara. Kami beri pinjam telefon bimbit yang baru dibeli sejurus selepas dia tiba di Brunei. Kami berikan kepadanya akses wifi di rumah tanpa had kuota dan tanpa mengira waktu. Kami bawa dia berjumpa doktor gigi ketika dia berada dalam kesakitan sehingga tidak dapat tidur malam.

    Kami juga membelikan dia sepasang kaca mata tanpa meminta sebarang bayaran kerana dia mengadu sukar untuk melihat jika tidak memakai kaca mata. Apabila kami belayar ke Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, kami bawa Susanti bersama-sama. Kami belikan baju baharu untuknya sebagai hadiah. Jika keluar membeli barang keperluan harian pada setiap hujung minggu, kami siap bertanyakan kepadanya, “Aunty, kamu mahu apa-apa? Ambillah, nanti saya bayar.”

    Semuanya untuk apa akhirnya? Agar dia dapat melarikan diri untuk tinggal bersama pacar baharu? Agar dia boleh melakukan apa-apa sahaja sesuka hatinya?

    Susanti, kami tahu kamu masih berada di Brunei. Kerana kami masih menyimpan pasport dan kad pengenalan kamu. Jika kamu membaca tulisan ini, ketahuilah bos dan ma’am tidak akan memaafkan kamu. Sampai hati kamu buat kami macam ini. Biar Allah sahaja yang membalas kejahatan kamu itu.

    Anak dato

    NASIHAT DANG MP

    Saya faham awda berasa sangat kecewa dan marah dengan tindakan Susanti yang melarikan diri tanpa memberitahu awda. Saya rasa itu adalah hal yang tidak patut dilakukan oleh seorang pembantu rumah yang telah diberikan layanan baik oleh majikannya. Untuk masalah yang awda hadapi, berikut saya sarankan beberapa nasihat atau pandangan yang mungkin berguna untuk awda:

    Laporkan kepada pihak berkuasa. Jika awda yakin bahwa Susanti masih berada di Brunei, awda harus segera melaporkan kehilangannya kepada pihak berkuasa, seperti polis, imigresen, atau kedutaan negara asal Susanti. Awda juga harus memberikan informasi yang lengkap, seperti nama, alamat, nombor telefon, nombor pasport, nombor kad pengenalan dan gambar Susanti. Dengan demikian, awda dapat membantu pihak berkuasa untuk menemukan dan menangkap Susanti, serta mengembalikan barang-barang yang dicurinya.

    Bersabar. Awda mungkin merasa bersalah atau bertanya-tanya apakah awda telah melakukan sesuatu yang salah sehingga Susanti melarikan diri.

    Namun, awda harus ingat bahwa awda telah menjaga Susanti dengan sangat baik dan memberikan segala yang dia perlukan. Awda tidak perlu menyesali apa yang telah awda lakukan, karena itu bukan kesalahan awda. Saya harap nasihat atau pandangan ini sedikit sebanyak dapat membantu awda untuk menyelesaikan masalah awda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda