Monday, September 30, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bali percepat vaksinasi anjing, kucing

    DENPASAR, 29 SEPT – Kerajaan Bali mempercepatkan vaksinasi anjing dan kucing untuk mencegah penularan virus rabies di provinsi itu, lapor agensi berita Indonesia (Antara).

    “Kita mesti menjadikan Bali bebas daripada rabies,” kata setiausaha daerah provinsi Bali, Dewa Made Indra semasa aca-ra vaksinasi anjing dan kucing di Denpasar hari ini.

    Untuk mencapai matlamat ini, aca-ra vaksinasi percuma untuk haiwan yang terdedah kepada rabies, seperti anjing dan kucing, sedang dipergiatkan. Inisiatif terbaharu itu dianjurkan oleh Persatuan Veterinar Indonesia (PDHI) Bali.

    Indra menyatakan kira-kira 30 peratus daripada populasi anjing di Bali belum divaksinasi, manakala wilayah itu menyasarkan untuk bebas rabies menjelang 2030.

    Menurut data daripada Perkhidmatan Pertanian dan Keselamatan Makanan Bali, program vaksinasi termasuk anjing liar. Setakat ini, vaksinasi telah mencapai kira-kira 426,000 anjing atau 70.53 peratus daripada anggaran 605,000 populasi anjing.

    “Ini bermakna masih terdapat 30 peratus anjing yang perlu kita vaksin, tetapi angka ini tidak tetap, kerana anjing dan haiwan lain terus membiak,” tambahnya. Beliau menggesa orang ramai untuk terus berwaspada terhadap rabies dan menghalang anjing dan kucing mereka daripada berkeliaran dengan bebas.

    Indra menasihatkan sesiapa yang digigit anjing untuk mendapatkan rawatan segera di hospital atau kemudahan kesihatan berdekatan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda