Saturday, January 4, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    BAM muktamadkan pengganti Bin Shen

    KUALA LUMPUR, 1 JAN – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka menamatkan pencarian ketua jurulatih beregu lelaki baharu dalam tempoh dua minggu ini.

    Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, berkata pihaknya kini sedang meneliti beberapa calon termasuk jurulatih tempatan bagi menggantikan Tan Bin Shen, yang akan menamatkan perkhidmatan selepas Terbuka Malaysia 2025 bermula 7 hingga 12 Januari ini.

    “Pihak kami sedang melihatnya dengan teliti sebelum kami boleh memutuskan ketua jurulatih beregu lelaki yang baharu. Kami sedang cuba melakukannya seawal yang mungkin.

    “Jika selesai awal kami akan maklumkan, jika semua berjalan lancar ketika Terbuka Malaysia minggu depan (7 hingga 12 Januari) pun kita akan beritahu,” katanya ketika dihubungi ini.

    Bulan lepas, BAM mengumumkan Bin Shen akan menamatkan tugas pada 13 Januari ini selepas menyertai badan induk itu pada Disember 2020.

    Bekas pemain kebangsaan tersebut memainkan peranan utama dalam melonjakkan standard beberapa beregu lelaki negara termasuk Araron-Wooi Yik yang merangkul gelaran juara dunia sulung buat Malaysia pada 2022.

    Jurulatih berusia 40 tahun itu akan berkhidmat dengan pasukan kebangsaan Hong Kong di bawah bekas perseorangan nombor satu dunia Wong Choong Hann mulai Februari bersama-sama dua lagi jurulatih dari Malaysia, Jeremy Gan dan Loh Wei Sheng.

    Sementara itu, Subramaniam enggan mengulas apabila ditanya sama ada jurulatih berpengalaman Indonesia, Herry Iman Pierngadi atau lebih dikenali sebagai Herry IP akan menjadi pilihan BAM untuk menerajui bahagian beregu lelaki. – Bernama

    Datuk V. Subramaniam bercakap semasa sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara BAM dan 100PLUS, Bukit Kiara pada 23 Disember. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda