Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Banjir, tanah runtuh di Filipina ragut enam jiwa

    MANILA, 2 FEB – Banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat telah mengorbankan enam orang di Filipina, manakala seorang lagi hilang, kata penyelamat kelmarin.

    Hujan mula melanda Mindanao, pulau kedua terbesar di negara itu, hujung minggu lalu, mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang menurut pegawai menyebabkan ribuan orang melarikan diri ke pusat perlindungan kecemasan.

    Kawasan paling teruk terjejas ialah perbandaran pergunungan Maragusan, yang merekodkan 23 tanah runtuh sejak Ahad dan bandar bersebelahan New Bataan di mana lebih 10,000 orang dipindahkan dari rumah yang dinaiki air.

    Tiga orang terkorban manakala yang keempat hilang dalam kejadian tanah runtuh di Maragusan, kata pegawai bencana perbandaran, Romeo Tublag kepada AFP.

    “Pekan kami dikelilingi oleh pergunungan jadi tanah runtuh adalah ancaman yang sentiasa ada. Hujan turun hampir setiap hari di sini,” kata Tublag.

                Di New Bataan, tanah runtuh meragut nyawa seorang lelaki manakala seorang wanita dihanyutkan dan terbunuh oleh banjir dan seorang lagi terkena renjatan elektrik di luar rumahnya yang dinaiki air, kata pegawai bencana Aeona Armocilla kepada AFP.

    Gambar hiasan Canva.

    Sungai yang melimpah membanjiri tiga kampung, memaksa 10,100 penduduk berpindah, kata Armocilla sambil menambah kawasan itu masih hujan lewat semalam.

    Banjir turut melanda majlis perbandaran Bunawan dan Veruela dekat wilayah Agusan del Sur dengan lebih 5,000 orang berteduh di pusat pemindahan, kata pegawai bencana wilayah, Alexis Cabardo kepada AFP. – AFP

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...