Saturday, December 14, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank Baiduri terima pengiktirafan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Bank Baiduri telah dinamakan sebagai Bank of the Year 2024 oleh The Banker iaitu sebuah penerbitan berprestij oleh Financial Times, United Kingdom.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, pengiktirafan berkenaan menandakan kali ke-16 bank berkenaan telah menerima pengiktirafan terbilang di mana ia mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemimpin dalam industri perbankan Brunei dan pemangkin bagi perkembangan dan inovasi.

    Anugerah itu merupakan penamat yang amat bertepatan bagi tahun mercu tanda untuk Bank Baiduri di mana ia meraikan ulang tahunnya ke-30 iaitu sebuah peristiwa penting yang mencerminkan tiga dekad pertumbuhan, inovasi dan perkhidmatan kepada masyarakat.

    Mengulas mengenai anugerah berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui berkata anugerah berkenaan merupakan satu penghormatan yang amat besar dan bermakna bagi menutup ulang tahun ke-30 bank berkenaan.

    Ia melambangkan bukan sahaja kekuatan asas dan strategi perniagaan kukuhnya tetapi juga dedikasi bank berkenaan kepada kakitangan, pelanggan dan pihak berkepentingan yang telah bersama-sama melalui perjalanan berkenaan.

    Bank Baiduri telah dinamakan sebagai Bank of the Year 2024 oleh The Banker iaitu sebuah penerbitan berprestij oleh Financial Times, United Kingdom. – GAMBAR FAIL OLEH MUIZ MATDANI

    Beliau menyatakan bahawa sambil mereka mengimbas kembali 30 tahun pencapaiannya, mereka kekal bersemangat untuk membina legasi kecemerlangan dan menetapkan penanda aras baharu untuk masa akan datang.

    Menurut The Banker, Bank Baiduri telah menunjukkan pertumbuhan yang luar biasa dan visi strategik sepanjang tahun lalu, mencapai peningkatan keuntungan yang ketara bersama peningkatan kecekapan operasi.

    Pencapaian berkenaan mencerminkan prestasi kewangan mantap bank berkenaan dan usaha berterusannya untuk mengoptimumkan sumber sambil menyampaikan nilai kepada pihak berkepentingannya.

    Penerbitan tersebut memuji inisiatif penyusunan semula Bank Baiduri dalam bahagian perbendaharaan, perbankan runcit dan perbankan korporat, serta peranan utamanya dalam membiayai projek strategik negara dan pelaburan langsung asing.

    Kemajuan teknologi bank berkenaan juga telah diketengahkan oleh The Banker termasuk pelancaran platform peminjaman korporat dengan kerjasama Fidelity Information Services dan perkongsian dengan finbots.ai, berpangkalan di Singapura, untuk melaksanakan creditX iaitu sebuah penyelesaian pengurusan risiko kredit diterajui AI.

    Sumbangan Bank Baiduri adalah lebih daripada pencapaian kewangannya, di mana berkerjasama dengan sebuah syarikat tempatan, bank berkenaan telah memperkenalkan Maribali, sebuah e-pasaran yang direka untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

    Platform berkenaan menyediakan keupayaan penjualan atas talian selamat berserta denan akses kepada perkhidmatan perbankan perniagaan yang khusus.

    Inisiatif itu menggarisakn komitmen bank berkenaan untuk memupuk pertumbuhan ekonomi dan memperkasakan komuniti tempatan.

    Di samping dinamakan sebagai Bank of the Year 2024 oleh The Banker, Bank Baiduri juga telah menerima beberapa anugerah penting yang lain dan mencapai mercu tanda signifikan bagi 2024 termasuk Best Bank in Brunei 2024 oleh Euromoney, Best Banking Group for Brunei 2024 oleh World Finance, Best Bank in Brunei 2024, oleh Global Finance, Domestic Retail Bank of the Year for Brunei 2024 oleh Asian Banking & Finance serta Best Retail Bank in Brunei 2024 oleh The Asian Banker.

    Bank Baiduri juga mengekalkan penarafan kredit A-/A-2 dengan Stable Outlook daripada Standard & Poor’s untuk tahun ketiga berturut-turut, mengesahkan semula asas kewangan kukuhnya dan daya tahannya dalam sebuah pasaran kompetitif.

    Pencapaian-pencapaian berkenaan mencerminkan dedikasi Bank Baiduri kepada memperkayakan kehidupan, memperkasakan komuniti dan memupuk pertumbuhan mampan. Dengan bank berkenaan meraikan tiga dekad perkhidmatan, ia kekal komited untuk menjadi rakan kongsi kewangan Brunei yang dipercayai, menyokong individu dan perniagaan untuk mencapai matlamat mereka dalam dunia yang sering berubah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda