Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Bank Dunia peruntukan AS$30b atasi krisis makanan

    WASHINGTON, 19 MEI – Bank Dunia mengumumkan pembiayaan tambahan sebanyak AS$12 bilion bagi mengurangkan ‘kesan buruk’ akibat krisis makanan yang dicetuskan oleh perubahan iklim dan serangan Rusia ke atas Ukraine.

    Bank Dunia mengumumkan peruntukan tambahan itu sekali gus membawa secara keseluruhan pembiayaan bagi projek untuk tempoh 15 bulan seterusnya kepada AS$30 bilion.

    Pembiayaan itu akan membantu meningkatkan penghasilan baja, memudahkan perdagangan lebih besar serta menyokong isi rumah dan negara pengeluar bijirin yang lemah.

    Ketidakpastian makanan semakin meningkat akibat masalah pemanasan global, pandemik koronavirus dan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang mengakibatkan kekurangan kritikal bijirin serta baja.

    Pada mesyuarat utama PBB di New York mengenai keselamatan makanan global, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata peperangan Ukraine memberi ancaman dan menyebabkan jutaan orang berada di ambang risiko keselamatan makanan.

    Katanya, apa yang akan berlaku seterusnya adalah kekurangan nutrisi dan kebuluran dalam krisis yang mungkin berlanjutan selama beberapa tahun.

    Sehubungan itu, beliau dan pemimpin lain menggesa Rusia membenarkan eksport bijirin Ukraine kerana kedua-dua negara itu menghasilkan 60 peratus bekalan gandum global.

    Serangan Moscow terhadap Ukraine dan sekatan ekonomi antarabangsa ke atas Rusia menyebabkan gangguan bekalan baja, gandum dan komoditi lain dari kedua-dua negara, memaksa kenaikan harga makanan dan bahan api, terutamanya di negara membangun.

    Hanya dalam tempoh dua tahun, jumlah penduduk dunia diancam ketidakpastian makanan meningkat dua kali ganda daripada 135 juta kepada 276 juta, hari ini. – AFP

    Antonio Guterres (kiri) dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken bercakap semasa mesyuarat mengenai keselamatan makanan global di ibu pejabat PBB di New York pada 18 Mei 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...