JAKARTA, 22 MEI – Bank Indonesia menurunkan kadar faedah penanda arasnya sebanyak 25 mata asas kepada 5.50 peratus, bersama dengan kadar kemudahan deposit dan pinjaman masing-masing kepada 4.75 peratus dan 6.25 peratus, susulan mesyuarat lembaga gabenor yang berlangsung dari Selasa hingga kelmarin.
Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo berkata dasar ini berdasarkan unjuran inflasi bagi 2025-2026 yang dijangka kekal rendah dalam julat sasaran 2.5±1 peratus dan bertujuan untuk mengekalkan kestabilan kadar pertukaran selaras dengan asas ekonomi.
“Dasar monetari kekal bertumpu kepada kestabilan makroekonomi, khususnya inflasi dan kadar pertukaran, di samping menyokong pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara,” kata Perry dalam sidang media kelmarin.
Tambahnya, bank pusat itu juga menggesa bank tempatan agar menurunkan kadar faedah pinjaman bagi mempercepat pengagihan kredit. Beliau turut menyatakan purata kadar faedah pinjaman bank kekal tinggi pada April iaitu 9.19 peratus, hampir tidak berubah berbanding 9.20 peratus pada awal Januari.
“Melangkah ke hadapan, Bank Indonesia melihat keperluan untuk menurunkan kadar faedah bank bagi menggalakkan pengembangan kredit dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh,” katanya dalam sidang media maya selepas mesyuarat lembaga gabenor. – Bernama
