Sunday, March 16, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banteras aids menjelang 2030

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Di Negara Brunei Darussalam, dari 1986 sehingga menjelang akhir 2018, seramai 247 orang telah disahkan dijangkiti HIV dalam kalangan warganegara dan penduduk tetap dan daripada jumlah itu, seramai 191 orang atau 77 peratus orang masih hidup dengan HIV.

    Jumlah kes tertinggi pula dilaporkan adalah pada tahun 2018 iaitu sebanyak 41 kes. Justeru, aktiviti-aktiviti pencegahan, kawalan dan rawatan sedia ada perlu terus diperkukuhkan, tegas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika berucap dalam Forum Implikasi HIV di Tempat Kerja, Bersempena Hari AIDS Sedunia 2019 yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Menurutnya lagi, Sebahagian besar jangkitan yang didapati disebabkan tingkah laku yang tidak selamat dan jika perkara itu tidak dibendung dengan segera, dikhuatiri bilangan kes baharu HIV akan meningkat lagi dan menggagalkan matlamat negara untuk membanteras AIDS menjelang 2030.

    Setakat ini, jelasnya, jangkitan HIV telah meragut lebih daripada 32 juta nyawa dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat lebih daripada 37.9 juta orang hidup dengan HIV pada hujung 2018 di seluruh dunia.

    Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa jangkitan HIV sebenarnya boleh dirawat dan orang yang hidup dengan HIV yang menerima rawatan ART pada masa kini, boleh mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain.

    “Menurut WHO, dengan kemajuan dalam bidang kesihatan dan perubatan masa kini, 79 peratus orang yang hidup dengan HIV dianggarkan mengetahui risiko HIV mereka, 62 peratus dianggarkan menerima rawatan ART dan 53 peratus dianggarkan berjaya dalam menyekat virus HIV,” jelasnya.

    Beliau berkata lagi bahawa antara 2000 dan 2018, jangkitan HIV yang baharu berkurangan sebanyak 37 peratus dan kematian akibat jangkitan HIV pula jatuh sebanyak 45 peratus.

    Sehubungan itu, sebanyak 13.6 juta nyawa terselamat dengan rawatan ART dan pencapaian itu mencerminkan kejayaan usaha sama agensi-agensi kerajaan di negara-negara seluruh dunia yang didukung oleh kumpulan masyarakat setempat dan juga rakan pembangunan antarabangsa. Para pemimpin di peringkat global juga telah mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh masyarakat dalam membanteras AIDS dan dalam mencapai kesihatan untuk semua dalam deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang pertama mengenai liputan kesihatan sejagat yang telah diluluskan oleh negara-negara anggota pada September 2019.

    Yang Berhormat Dato dalam ucapannya lagi, mengiktiraf peranan penting serta menghargai sumbangan dan sokongan yang telah diberikan oleh Majlis AIDS Brunei (BDAS) sebagai rakan strategik Kementerian Kesihatan, dalam meneruskan aktiviti-aktiviti advokasi, pendidikan kesihatan dan kesedaran awam serta sokongan bagi mereka yang hidup dengan HIV.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menyampaikan ucapannya pada Forum Implikasi HIV di Tempat Kerja, Bersempena Hari AIDS Sedunia 2019 yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda