Sunday, May 11, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantu Brunei jadi destinasi pendidikan pelajar serantau

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Brunei terus menjadi rakan persahabatan yang amat penting di rantau Asia Tenggara bagi United Kingdom (UK), ke arah itu, UK akan terus berusaha untuk meneroka peluang-peluang kerjasama antara kedua-dua buah negara.

    Kerjasama dua hala yang menjadi tumpuan adalah kewangan, pendidikan dan tenaga, jelas Utusan Perdagangan Perdana Menteri British ke Negara Brunei Darussalam, Myanmar dan Thailand, Mark Garnier (gambar bawah) kepada media semasa taklimat di Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini.

    Mark Garnier berada di Negara Brunei Darussalam bagi lawatan selama empat hari bermula 8 hingga 11 Ogos dengan tujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua buah negara.

    Mengulas lanjut mengenai bidang kerjasama dua hala pendidikan, Mark Garnier berkata, institusi pendidikan di Brunei dapat menjalinkan hubungan dengan institusi pendidikan di UK dan menerusi kerjasama itu, dapat menawarkan program kepada para pelajar antara-
    bangsa secara dalam talian yang dikendalikan di negara ini atau menyertai program itu.

    Menerusi usaha itu, ia akan dapat memberi manfaat kepada institusi pendidikan kedua-dua buah negara serta pada masa sama, membantu menjadikan Brunei sebagai destinasi pendidikan bagi para pelajar serantau.

    Sehubungan itu, Mark menyatakan pihaknya ingin memberi sokongan dan bantuan kepada Brunei dalam usahanya untuk meneroka peluang kerjasama pendidikan.

    Mengulas mengenai peluang dalam bidang perkhidmatan kewangan, beliau menjelaskan Brunei dapat memainkan peranan sebagai sebuah pusat kewangan serantau khususnya dalam bidang kewangan syariah iaitu satu ciri yang unik bagi Brunei dan beliau ingin meneruskan dialog berhubung perkara itu bukan sahaja di sini tetapi dengan usahawan serta ahli perniagaan di UK sebagai bidang perkhidmatan kewangan yang dapat dikembangkan bersama.

    Sementara itu, menyentuh mengenai tenaga, beliau menyatakan bahawa masih terdapat peluang yang luas bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang tenaga termasuk dalam sektor minyak dan gas.

    Pada masa yang sama, beliau mendedahkan bahawa di UK terdapat lebih banyak sumber peruntukan untuk melabur ke dalam tenaga hijau daripada projek tenaga hijau yang
    tersedia.

    Oleh itu, terdapat peluang bagi melaksanakan projek-projek tenaga hijau di Brunei seperti tenaga suria di mana ia boleh dilaksanakan bagi menjana tenaga untuk kegunaan domestik dan jika dapat menghasilkan lebihan tenaga, ia boleh dieksport kepada negara-negara serantau sebagai hidrogen hijau.

    Mengulas lanjut mengenai perkara berhubung kerjasama tenaga, Pesuruhjaya Tinggi
    British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe menyatakan Brunei Darussalam seperti UK telahmemberi komitmen untuk mencapai Net Zero menjelang
    2050 dan UK ingin bekerjasama dengan Brunei untuk mencapai sasaran berkenaan seperti memberikan sokongan terhadap tenaga yang boleh diperbaharui.

    Terdahulu dalam taklimat media berkenaan, Mark Garnier menerangkan bahawa peranannya sebagai utusan perdagangan adalah untuk meningkatkan pelaburan perdagangan di antara Brunei dan UK.

    Secara khususnya, ulas beliau, pihaknya melihat kepada usaha untuk meningkatkan eksport dan import antara kedua-dua buah negara serta menggalakkan lebih banyak perdagangan dengan meneroka peluang-peluang perniagaan yang baharu.

    Pada masa yang sama, beliau juga ingin membantu perusahaan Brunei untuk meneroka pasaran di UK dan memastikan bahawa pengusaha Brunei yang menjalankan perniagaan mereka di UK mendapat bantuan yang diperlukan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda