TAKEO, KEMBOJA – Chhum Seavling, 12, sudah biasa berjalan kaki beberapa kilometer ke sekolah setiap hari.
Keluarganya tidak mampu membeli basikal untuknya, maka apabila Hello Inc. mendermakan beberapa basikal yang dikongsi syarikat sebelum ini kepada kanak-kanak luar bandar di Kemboja, ia mengubah kehidupannya.
Sekolah Rendah Chok di daerah Bati, kira-kira 50km ke selatan ibu kota Phnom Penh, adalah salah satu daripada 67 sekolah luar bandar yang telah diberikan basikal.
“Ibu bapa saya adalah petani miskin. Mereka tidak mampu membeli basikal untuk saya, jadi saya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk berjalan kaki ke sekolah,” kata Chhum kepada Xinhua. Dia kini tidak mempunyai sebab untuk berhenti sekolah. “Saya hanya mengambil masa lima hingga 10 minit untuk berbasikal ke sekolah sekarang. Saya sangat gembira dan saya tidak mahu berhenti lagi.”
Seorang lagi pelajar darjah enam, Leang Sreynet berkata, basikal itu membawa harapan baharu dan dia berjanji akan belajar bersungguh-sungguh bagi memenuhi impiannya menjadi seorang guru. Vong Sovanminea mencuci basikalnya setiap hari. “Basikal itu sangat berguna. Selain menunggang ke sekolah, ibu bapa saya menaikinya untuk pergi ke pasar,” katanya.
Khuon Chhorn, pengetua sekolah itu, berkata adalah perkara biasa untuk melihat pelajar berjalan jauh ke sekolah. Beberapa pelajar berjalan kaki tujuh kilometer menuju ke sekolah dan tujuh kilometer kembali. “Basikal itu memudahkan mereka datang ke sekolah dan melegakan kebimbangan keluarga me-reka,” katanya kepada Xinhua.
Bagi pihak pelajarnya, pengetua mengucapkan terima kasih atas sumbangan tersebut. “Saya percaya basikal itu akan mengubah hidup mereka,” katanya.
Basikal di Kemboja berharga kira-kira 250,000 riel (AS$60). Keluarga miskin tidak memperoleh pendapatan sebanyak itu dalam tempoh dua bulan dan Chhum memastikan kesemua 35 basikal yang diterima sekolah diberikan kepada pelajar yang paling memerlukan.
Basikal itu diberikan semasa Tahun Baharu Cina dan Hello telah menerima surat penghargaan yang tidak terkira banyaknya, disertai dengan video dan gambar basikal yang digunakan. Zhou Jinxiu, naib presiden Hello, berkata dengan bantuan Yayasan China untuk Pembasmian Kemiskinan dan Yayasan Amal COSCO, Hello Inc. telah menyumbangkan 1,000 basikal kepada pelajar di luar bandar Kemboja.
“Walaupun (basikal) datang dari bandar seluruh China dan masih dalam keadaan baik. Kami membaiki dan membersihkannya sebelum dihantar,” katanya kepada Xinhua. Basikal dihantar ke Takeo, Kampong Cham, Kampong Chhnang, dan wilayah Battambang.
“Kebanyakan pelajar adalah daripada keluarga berpendapatan rendah, dan kami berharap basikal berkenaan akan berguna, kepada pelajaran dan kehidupan seharian,” katanya. “Kami gembira apabila penerima bantuan mendapatnya, berharap mereka menjadi duta persahabatan China-Kemboja apabila me-reka tamat persekolahan.” – Xinhua