Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bapa aniaya anak dipenjara 13 tahun

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun telah dijatuhi hukuman penjara selama 13 tahun serta tujuh sebatan kelmarin oleh Mahkamah Majistret kerana mendera secara fizikal dan seksual dua orang anak perempuannya.

    Tertuduh telah disabitkan kesalahannya selepas menjalani perbicaraan bagi sembilan pertuduhan yang dikemukakan ke atasnya, termasuk tiga pertuduhan serangan dan pendedahan kepada kecederaan fizikal di bawah Seksyen 28 (1) Akta Kanak-kanak dan Orang Muda, Bab 219, dan enam pertuduhan mencabul kehormatan di bawah Seksyen 354B Kanun Jenayah, Bab 22.

    Semasa perbicaraan dinyatakan bahawa satu siri penderaan fizikal berlaku antara Januari dan April 2018. Mahkamah dimaklumkan pada Januari 2018, bahawa tertuduh telah memukul anak perempuan bongsunya berusia 11 tahun (Dayang X) dengan menampar wajah dan memukul badannya pada satu malam hanya kerana meminta tertuduh untuk membelikannya pelekat untuk kegunaan kerja sekolahnya.

    Pada malam yang sama, tertuduh juga telah menghukum ketiga-tiga orang anaknya dengan menyuruh mereka berdiri di atas kerusi di ruang tamu sehingga subuh.

    Ketika anak bungsunya cuba untuk meminta maaf kepadanya, tertuduh menjadi marah dan kemudiannya menendang perut anaknya itu.

    Mangsa yang pada keesokan harinya mengadu sakit kepada guru sekolahnya menyebabkan perkara itu dilaporkan kepada pihak polis.

    Tertuduh kemudiannya ditangkap dan direman segera selepas itu kerana secara fizikal mendera Dayang X dan menyebabkan, anak bungsu perempuan tertuduh terpaksa ditempatkan di tempat perlindungan buat sementara waktu.

    Semasa tertuduh diikat jamin ketika mana penyiasatan sedang dijalankan terhadap insiden pertama tertuduh, dia pada dua kejadian yang lain pada bulan April 2018 telah mendera anaknya yang sulung (Dayang Y), yang berusia 13 tahun, apabila tertuduh menyuruh anak lelaki sulungnya untuk menampar muka Dayang Y.

    Dayang Y telah memberitahu mahkamah bahawa dia dan abangnya diarahkan untuk menampar muka satu sama lain oleh bapa mereka yang mana mereka berdua tidak berani untuk melawannya kerana takut tertuduh akan memukul mereka.

    Selepas beberapa siri penderaan fizikal yang dilakukan tertuduh antara Januari dan April 2018 terhadap anak-anak perempuannya, tertuduh telah direman di penjara hingga sekitar bulan November 2018. Dalam jangka masa tersebut, anak bungsu perempuannya telah pulang ke rumah untuk tinggal bersama nenek dan kakaknya.

    Setelah tertuduh dibebaskan dari penjara, keluarga itu mula kembali tinggal bersama lagi namun tidak lama selepas itu, tertuduh mula menganiaya anak-anak perempuannya secara seksual.

    Namun perbuatan tertuduh hanya terungkai setelah Dayang X mendedahkannya kepada guru sekolahnya pada bulan Ogos 2019 lalu bahawa bapanya telah mencabul kehormatannya dengan memintanya melakukan aksi seksual bersamanya ketika berada di rumah beberapa kali dan kali terakhir dilakukan pada 14 Ogos 2019.

    Bagi mengurangkan hukuman terhadapnya, tertuduh meminta mahkamah untuk menjatuhkan hukuman paling rendah ke atasnya atas alasan dia perlu menjaga ketiga-tiga anak dan ibunya.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri binti Kiprawi mendesak mahkamah untuk menjatuhkan hukuman pencegahan untuk memberikan masyarakat gambaran terhadap perlakuan penderaan fizikal dan seksual terkutuk tertuduh ke atas anak perempuannya sendiri.

    Hukuman pemenjaraan dan sebat yang dikenakan kepada tertuduh telah dijatuhi oleh Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar yang mengendalikan kes tersebut.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda