Monday, January 6, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bapa diserang banduan di penjara guna penutup tin tuna

    LONDON, 3 JAN – Seorang lelaki yang membunuh anak perempuannya berusia 10 tahun, Sara Sharif, dalam kes berprofil tinggi yang mencetuskan kemarahan masyarakat, dilaporkan telah diserang di penjara, menurut pegawai dan media di United Kingdom hari ini.

    Urfan Sharif, 43, diserang oleh dua banduan di Penjara Belmarsh, London, tempat dia menjalani hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh, lapor tabloid The Sun. Insiden itu menyebabkan Sharif mengalami luka pada bahagian leher dan muka, dan dia menerima rawatan perubatan di penjara selepas diserang menggunakan penutup tajam tin tuna, menurut laporan tersebut.

    Jurucakap Perkhidmatan Penjara memaklumkan bahawa pihak polis kini sedang ‘menyiasat serangan terhadap seorang banduan di HMP Belmarsh pada 1 Januari’. Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut diberikan mengenai kejadian itu.

    Dalam kenyataan berasingan, jurucakap Polis Metropolitan London memaklumkan bahawa seorang lelaki berusia 43 tahun mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa dalam serangan berkenaan.

    Bulan lalu, Sharif dan ibu tiri Sara, Beinash Batool, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas kematian kanak-kanak itu selepas didapati bersalah menjalankan ‘kempen penyeksaan’ dan ‘penderaan keji’ yang berpanjangan.

    Mahkamah menetapkan Sharif menjalani hukuman penjara minimum 40 tahun, manakala Batool, 30, perlu menjalani hukuman sekurang-kurangnya 33 tahun. Perbicaraan turut mendedahkan Sara menjadi mangsa penderaan fizikal teruk sejak berusia enam tahun. – AFP

    Fail foto edaran Polis Surrey pada 11 Disember 2024 menunjukkan (dari kiri ke kanan) Urfan, Beinash dan Faisal Malik, masing-masing bapa, ibu tiri dan bapa saudara kepada Sara Sharif. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda