BARCELONA, 2 OGOS – Barcelona telah menjual 25 peratus daripada Barca Studios, yang menguruskan peniagaan digital dan penghasilan audiovisual kelab, kepada Socios.com bernilai 100 juta euro, menurut pengumuman presiden kelab, Joan Laporta, kelmarin.
Ahli kelab tersebut telah mengundi untuk membenarkan penjualan 49 peratus daripada saham.
“Ketika ini, kami telah menjual 25 peratus kepada Socios.com,” kata Laporta semasa sidang media untuk memperkenalkan pemain baharu, Jules Kounde, yang dibeli dengan harga 50 juta euro dari Sevilla.
Awal musim ini, kelab itu telah menjual 15 peratus pendapatan penyiaran TV La Liga kepada tabung pelaburan Amerika Syarikat, Sixth Sense bernilai 400 juta euro sebelum berbelanja besar untuk mendapatkan pemain-pemain baharu.
Selain mendapatkan Kounde, Barcelona turut membawa masuk Robert Lewandowski dari Bayern Munich dan Raphinha dari Leeds. Selain itu, mereka turut menandatangani pemain tengah AC Milan, Franck Kessie dan pemain pertahanan Denmark, Andreas Christensen secara percuma.

Laporta turut mendedahkan bahawa penjualan kepada Socios.com adalah kekal, manakala perjanjian dengan Sixth Sense adalah bagi tempoh 25 tahun.
“Ia dijual secara kekal,” kata Laporta. “Terdapat cara untuk mendapatkan semula perjanjian 25 peratus itu tetapi buat masa ini kami telah menjalin rakan baharu bersama Socios.com, yang akan membayar 100 juta euro,” katanya.
Socios.com adalah sebuah platform yang akan membolehkan kelab untuk meningkatkan interaksi mereka bersama peminat dan cuba meraih keuntungan daripadanya.
Dalam usaha untuk meraih keuntungan segera, Barcelona telah membuat pinjaman sebanyak 595 juta dari bank pelaburan Goldman Sachs dan menandatangani perjanjian penaja bernilai 435 juta bersama syarikat perkhidmatan penstriman, Spotify.
Pada Ogos 2021, Laporta mengumumkan bahawa audit kewangan kelab menunjukkan Barcelona berdepan hutang kira-kira 1.35 bilion euro.- AFP