SEVILLE, 27 APRIL – Pemain pertahanan Barcelona, Jules Kounde muncul wira apabila menjaringkan gol pada masa tambahan untuk memastikan kemenangan dramatik 3-2 ke atas seteru utama, Real Madrid pada final Copa del Rey yang penuh mendebarkan semalam di Seville.
Barcelona, yang memburu empat kejuaraan musim ini, merangkul trofi utama pertama di bawah kendalian Hansi Flick, sekali gus merekodkan kejuaraan Piala Sepanyol ke-32, yang terbanyak dalam sejarah.
Tiga pemain Real Madrid dilayangkan kad merah semasa dan selepas babak akhir yang panas, termasuk pemain antarabangsa England, Jude Bellingham.
Pedri meletakkan Barcelona di hadapan di La Cartuja, namun dua gol Real Madrid dalam tempoh tujuh minit separuh masa kedua menerusi Kylian Mbappe dan Aurelien Tchouameni mengikat kedudukan oleh juara Sepanyol dan Eropah itu.
Bagaimanapun, jaringan Ferran Torres pada minit ke-84 mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum Kounde meledak gol kemenangan untuk pendahulu La Liga itu.

“Madrid memaksa kami beraksi hingga ke tahap maksimum, tetapi kami menunjukkan karakter dan semangat yang hebat,” kata Kounde.
Barcelona akan menjadi tuan rumah kepada Inter Milan dalam separuh akhir Liga Juara-juara pada Rabu ini.
“Mereka boleh berparti – untuk hari ini, tidak mengapa,” kata Flick dengan gembira kepada Movistar. Flick kini memenangi kesemua tujuh aksi final yang pernah dikendalikannya sepanjang karier.
Pertahanan Madrid, Antonio Rudiger, yang telah dikeluarkan dari permainan, dilayangkan kad merah pada saat akhir kerana ‘melontar objek’ ke arah pengadil, Ricardo de Burgos Bengoetxea, menurut laporan rasmi. Lucas Vazquez, yang turut digantikan, dibuang padang kerana tindakan protes lanjut ketika Madrid kelihatan hilang kawalan.
Bellingham pula dilayangkan kad merah selepas tamat perlawanan kerana menunjukkan ‘sikap agresif’ terhadap pengadil, di mana dia terpaksa ditahan oleh rakan sepasukan, menurut laporan pengadil.
“Saya tidak mahu bercakap tentang pengadil,” kata jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti dengan wajah sugul.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku pada penghujung permainan.” – AFP