BARCELONA, 23 APRIL – Barcelona semakin hampir menjulang kejuaraan La Liga selepas menewaskan Mallorca 1-0, semalam, sekali gus melebarkan jurang tujuh mata di hadapan pencabar utama, Real Madrid.
Jaringan tunggal perlawanan dijaringkan Dani Olmo sejurus separuh masa kedua bermula, hasil rangkaian hantaran kemas sebelum dia menyudahkan peluang dengan tenang.
Barca, yang kini dibimbing Hansi Flick dan memburu empat kejuaraan musim ini, menurunkan barisan berbeza menjelang final Copa del Rey menentang Madrid hujung minggu ini.
Antara pemain yang diberi peluang termasuk Ansu Fati yang membuat penampilan sulung sejak Oktober serta Hector Fort di posisi pertahanan kiri.
“Kami beraksi baik sebagai satu pasukan. Ramai pemain yang lama tidak bermain diberi peluang dan saya amat gembira untuk mereka,” kata Gavi kepada Movistar.
Walaupun mendominasi perlawanan dan mencipta banyak peluang, Barcelona dinafikan jaringan tambahan oleh aksi cemerlang penjaga gol Mallorca, Leo Roman, yang melakukan 10 penyelamatan sepanjang perlawanan. Ia merupakan penampilan sulung Roman dalam La Liga tahun ini.
Mallorca turut hampir mencipta kejutan melalui jaringan Mateu Morey yang dibatalkan kerana ofsaid. Mereka juga membuat rayuan penalti pada masa kecederaan selepas Abdon Prats dijatuhkan Eric Garcia, namun pengadil tidak melayan.
Barcelona kini mempunyai baki lima perlawanan termasuk aksi El Clasico menentang Real Madrid pada 11 Mei yang dijangka menjadi penentu kejuaraan. – AFP
