BARCELONA, 11 MAC – Jurulatih Barcelona, Hansi Flick, berkata pasukannya akan beraksi menentang Benfica dalam Liga Juara-Juara hari ini dengan dedikasi khas buat doktor kelab, Carles Minarro, yang meninggal dunia pada Sabtu lalu.
Gergasi Catalan itu memiliki kelebihan agregat 1-0 dalam pusingan 16 selepas kemenangan di Lisbon, menjelang perlawanan timbal balik di Stadium Olimpik.
Perlawanan La Liga Barcelona menentang Osasuna pada Sabtu lalu terpaksa ditunda hanya 20 minit sebelum sepak mula, selepas doktor pasukan berusia 53 tahun itu meninggal dunia pada petang tersebut.
“Ia satu kehilangan besar. Carles adalah seorang yang sangat baik, tetapi juga seorang doktor yang hebat.”
“Gabungan beliau dan Ricard (seorang lagi doktor kelab) benar-benar luar biasa untuk kelab dan pasukan,” kata Flick dalam sidang media kelmarin.
“Dia adalah salah satu bahagian penting dalam kejayaan pasukan kerana mereka telah melakukan kerja yang sangat baik. Kami merinduinya, tetapi inilah kehidupan. Saya percaya dia akan terus menyokong kami dari atas sana.”
“Pasukan juga mahu bermain… untuknya. Dalam situasi ini, sangat penting untuk kami menang, dan itulah tumpuan utama kami esok.”
Doktor Minarro telah berkhidmat dengan pelbagai pasukan Barcelona sejak 2017 dan mula bekerja dengan skuad utama lelaki hanya beberapa bulan yang lalu.
Barcelona sebelum ini menewaskan Benfica 5-4 di Lisbon dalam peringkat kumpulan dan sekali lagi menang minggu lalu, walaupun beraksi dengan 10 pemain hampir sepanjang perlawanan, selepas Pau Cubarsi dilayangkan kad merah. – AFP
