Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Sebagai pelaksanaan projek strategiknya bagi Pengukuhan Maqasid Syariah dalam Pengurusan dan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah melaratkan lagi pembarigaan kepada sektor-sektor swasta dengan kali ini melibatkan sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negara ini.
Taklimat dan bengkel Pengukuhan Maqasid Syariah dalam Pengurusan dan Pentadbiran berkenaan telah diadakan Kompleks Sukan Jerudong, hari ini.
Para peserta terdiri daripada wakil daripada agensi-agensi berkaitan ICT, seperti Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC), Unified National Networks (UNN), Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Progresif Sdn Bhd dan imagine Sdn Bhd.
Objektif taklimat adalah untuk memberikan kefahaman serta kesedaran mengenai kepentingan Prinsip Maqasid dalam tadbir urus sesebuah organisasi dan kehidupan seharian di samping mengetengahkan prinsip berkenaan agar dapat dihayati oleh warga perkhidmatan swasta di negara ini dalam kehidupan beragama, beraja dan bernegara.
Taklimat telah disampaikan oleh Dekan Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar yang antara lain menyentuh mengenai permulaan Maqasid Syariah diperkenalkan yang sangat berguna dalam kehidupan seharian, yang mana Maqasid Syariah mula ada sejak turunnya wahyu pertama lagi.
Acara yang dikendalikan pada sebelah pagi tersebut, berakhir pada sebelah petang yang diselajurkan dengan penyampaian sijil kepada para peserta.