KOTA BELUD, 3 OKT – Bermula dengan menjual hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan di tepi jalan, Usal Jon, 53, kini berasa seronok dan teruja apabila berpeluang memiliki lot gerai baharu yang lebih bersih dan selesa di Bazar Rakyat Kota Belud di sini.
Peniaga dari Kampung Tempasuk I di sini itu berkata bazar rakyat berkenaan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung, sekali gus membantu golongan peniaga seperti beliau mengembangkan perniagaan serta meningkatkan hasil jualan.
Justeru, beliau berterima kasih kepada kerajaan serta pemimpin setempat kerana berjaya membangunkan bazar rakyat itu dengan prasarana terbaik.
“Saya gembira dapat berniaga di sini kerana ada tempat letak kereta yang memberi kemudahan kepada peniaga dan pengunjung. Sebelum ini saya berniaga di tepi jalan dan membuat permohonan berniaga di bazar ini yang akhirnya diterima.
“Saya berharap pihak berkaitan dapat mempromosikan bazar rakyat ini bagi menarik lebih ramai pengunjung membeli-belah di sini seterusnya menyokong perniagaan usahawan tempatan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Bazar Rakyat Kota Belud yang dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini, mula dibina pada 6 Jan 2016 dan diserahkan kepada Majlis Daerah Kota Belud pada Februari lepas bagi menggantikan pasar yang tidak dapat lagi menampung keperluan peniaga dan penduduk. – Bernama
