BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Persatuan Pingpong Brunei Darussalam (BDTTA) telah menganjurkan kejohanan BDTTA Junior Championship 2021 (edisi sekolah Brunei) pada 11 dan 18 Julai lalu.
Beberapa buah sekolah telah mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut iaitu Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan, Sekolah St George, Sekolah Menengah Menglait, Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Sekolah Riverside Kampung Sungai Matan, Sekolah St Andrew dan Sekolah Menengah Chung Hua Kuala Belait.
Tiga kategori dipertandingkan iaitu kategori umur 12 tahun ke bawah, 15 tahun ke bawah dan 18 tahun ke bawah yang dibahagikan kepada perlawanan perseorangan, beregu dan beregu campuran.
Selain itu, BDTTA juga menjadi tuan rumah perlawanan antara guru-guru yang pertama kali diadakan dengan lebih daripada 20 orang guru lelaki dan wanita mengambil bahagian.
Dalam kejohanan berkenaan, pemain termuda berumur sembilan tahun beraksi dalam kategori 18 tahun ke bawah untuk menimba pengalaman dan pembangunan.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan kejohanan itu ialah Pemangku Pengarah dari Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Mohammad Nor ilham bin Haji Jais.
Beliau menyatakan cukup berbangga melihat pemain muda pingpong negara yang terlibat dan berpotensi untuk dikembangkan.
Pengarah kejohanan, Steven Yap Meng Teck menyatakan bahawa tujuan kejohanan itu dianjurkan adalah untuk membawa lebih banyak pemain muda yang berpotensi bagi dikembangkan dan berpeluang mewakili negara dalam pertandingan antarabangsa.
BDTTA adalah persatuan pingpong rasmi yang diiktiraf di Negara Brunei Darussalam oleh Persekutuan Pingpong Antarabangsa (ITTF).
