KUALA LUMPUR, 26 Jun – Beberapa orang Anggota Parlimen (MP) yang nama mereka dikatakan tersenarai dalam barisan menteri dan timbalan menteri yang didakwa telah bocor sejak malam tadi, kelihatan termangu bila berterusan ditanya mengenainya.
Mereka yang ditanya tidak pula mengesah atau menafikan kesahihan senarai berkenaan tetapi mengesahkan telah menerima panggilan peri-badi daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sejak minggu lepas.
“Senarai apa? Saya baru tiba (dengan pesawat) lewat malam tadi dan saya belum melihat sebarang senarai. Kita tunggulah pengumuman rasmi. Saya tidak tahu apa-apa,” kata MP Penampang, Darell Leiking ketika ditemui semasa sesi taklimat untuk para MP di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Timbalan presiden Warisan itu yang dikata dinamakan sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri, bagaimanapun menyatakan beliau sedia untuk berkhidmat jika diberikan peluang.
“Biar perdana menteri buat pengumuman. Ini Kabinet beliau,” katanya.
Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Annuar Tahir juga enggan memberi komen bila diminta mengesahkan senarai itu, yang dikatakan mengandungi nama beliau sebagai timbalan menteri kerja raya. – Bernama