TAWAU, 20 OGOS – Bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Mat Zaki Md Zain dan tiga lagi memfailkan saman berjumlah RM100 juta terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 10 yang lain.
Saman dan tuntutan ganti rugi tersebut berhubung pendakwaan dan tangkapan salah dalam kes bunuh pemandu e-hailing tahun lepas.
Pada 25 Januari lalu, Mat Zaki bersama enam anggota polis dan seorang awam dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada pertuduhan membunuh Nurman Bakaratu, 61, pada 13 Januari tahun lalu.
Selain Mat Zaki, tiga anggota yang sebelum ini bertugas di Unit Perisikan ESSCOM turut bertindak selaku plaintif iaitu Fabian Rungan, Dennis Enit dan Mohd Azlan Sakaran.
Semua plaintif memfailkan saman dan tuntutan ganti rugi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Khamis lalu melalui Tetuan Lincon & Co.
Mereka menamakan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa; Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah sebagai defendan pertama hingga keempat.
Turut dinamakan sebagai defendan kelima hingga ke-11 ialah Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin; ACP Dr Mohd Hakim Hashom; DSP Yusman Shahri Marinsah dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, PDRM, Jabatan Peguam Negara serta kerajaan Malaysia. – Bernama