Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas mekanik jadikan susu kerbau sumber pendapatan

    JITRA – Melihat potensi susu kerbau yang semakin mendapat permintaan tinggi, seorang mekanik dari Kampung Lembah Arang, di sini bertindak berani meninggalkan pekerjaannya untuk menternak haiwan itu dan menjual susunya sebagai sumber pendapatan.

    Megat Izham Megat Hassan, 42, berkata, bermodalkan RM60,000 untuk membina kandang dan membeli enam ekor kerbau pada 2006, beliau kini telah memiliki 30 ekor haiwan itu dengan setiap ekor mampu menghasilkan kira-kira tujuh kilogram susu segar sehari.

    “Alhamdulillah, hasil pendapatan jual susu kerbau ini boleh dapat antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan, lebih baik berbanding jadi mekanik sebelum ini. Tapi sekarang dalam sehari boleh dapat kira-kira 20 kilogram sahaja susu, sebab ada kerbau yang bunting kurang menghasilkan susu dan setiap kilogram susu dijual pada harga RM13,” katanya ketika ditemui pemberita di kandangnya di Kampung Lembah Arang baru-baru ini.

    Menceritakan mengenai penternakan kerbau, bapa kepada enam orang anak itu berkata ia bukan sesuatu yang mudah kerana selain memerlukan modal yang agak besar, banyak perkara lain mengenai penjagaan haiwan itu yang perlu dititikberatkan.

    Makanan yang mencukupi

    Menurut Megat Izham, kerbau perlu mendapat makan yang mencukupi selain memerlukan persekitaran yang bersih bagi memastikan susu yang dihasilkan berkualiti dan tidak tercemar.

    “Sebelum susu diperah, kerbau juga perlu dimandikan terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kotoran masuk ke dalam susu yang telah diperah,” katanya.

    Menurutnya, selain dijual kepada penduduk setempat sebagai minuman dan kegunaan lain, susu yang dihasilkan kerbaunya turut dijual kepada pengusaha keju di Langkawi yang menghasilkan keju mozarella.

    “Selain memiliki lemak dan protein yang tinggi, susu kerbau sangat diminati penduduk sekitar untuk menggantikan santan yang digaul dengan pulut sebelum dimakan dengan durian, pada musim durian permintaan susu ini memang berlipat kali ganda,” katanya.

    Selain menternak kerbau, Megat Izham turut menternak kambing dan rusa dan berazam menjadikan kandangnya sebagai lokasi agropelancongan suatu hari nanti. – Bernama

    Setiap hari tidak kurang 20 kilogram susu kerbau berjaya dijual pada harga RM13 sekilogram kepada pelanggannya sekaligus menjadi sumber pendapatan utamanya untuk menyara keluarga. – Bernama
    Bermodalkan sebanyak RM60,000, bapa kepada enam orang anak ini memberi fokus kepada penghasilan susu kerbau segar kerana mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan. – Bernama
    Bekas mekanik, Megat Izham Megat Hassan memberi makan gula merah sebagai vitamin kepada kerbau peliharaannya di Kampung Lembah Arang. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda