Thursday, January 2, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas Presiden AS meninggal dunia pada usia 100 tahun

    WASHINGTON, 30 DIS – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) dan penerima Hadiah Nobel Keamanan, Jimmy Carter, yang berusia 100 tahun dan berasal dari latar belakang sederhana di Georgia, meninggal dunia, menurut yayasan amalnya kelmarin

    Carter menerima penjagaan hospis sejak pertengahan Februari 2023 di kediamannya di Plains, Georgia, di mana beliau dilahirkan dan pernah mengusahakan ladang kacang.

    Beliau dilantik sebagai Gabenor pada tahun 1970 dan kemudian memenangi Pilihan Raya Presiden sebagai calon Demokrat pada November 1976 selepas mengalahkan calon Republikan, Presiden Gerald Ford.

    “Carter meninggal dunia dengan ‘tenang’ di rumahnya di Plains, dikelilingi oleh keluarganya,” kata Pusat Carter dalam satu kenyataan.

    “Bapa saya adalah wira, bukan sahaja kepada saya, tetapi kepada semua yang mempercayai keamanan, hak asasi manusia dan kasih sayang tanpa syarat.

    “Saya dan keluarga berkongsinya bersama seluruh dunia. Dunia adalah keluarga kami kerana cara dia menyatukan orang ramai dan kami berterima kasih kerana menghormati ingatannya dengan terus menghidupkan kepercayaan bersama ini,” kata Chip Carter, anak lelaki kepada mendiang Carter, dalam kenyataan tersebut.

    Lelaki berdiri di hadapan patung mendiang Jimmy Carter di Pusat Presiden Carter di Atlanta, Georgia, pada 29 Disember. – AFP

    Mendiang Carter merupakan bekas pemimpin AS tertua dan presiden paling lama hidup dalam sejarah negara itu – sesuatu yang dilihat mustahil pada 2015 apabila tokoh Demokrat dari Selatan itu mendedahkan beliau menghidap kanser otak.

    Namun, veteran Tentera Laut AS itu berulang kali menongkah arus dan menjalani kehidupan yang panjang lagi bermakna selepas sepenggal empat tahun di Rumah Putih, yang sering dilihat sebagai mengecewakan.

    Sepanjang tempoh pemerintahannya, Carter memberi penekanan terhadap hak asasi manusia dan keadilan sosial, menikmati dua tahun pertama yang kukuh termasuk menjadi perantara perjanjian damai antara Israel dan Mesir yang dikenali sebagai Perjanjian Camp David.

    Namun, pentadbirannya menghadapi pelbagai cabaran – yang paling serius ialah krisis tebusan di Iran serta percubaan menyelamat 52 rakyat AS yang gagal pada 1980. Beliau juga dikritik kerana caranya mengendalikan krisis minyak. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda