Wednesday, April 30, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas timbalan menteri Vietnam dipenjara 6 tahun akibat rasuah

    HANOI, 29 APRIL – Sebuah mahkamah di Vietnam hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas bekas timbalan menteri industri dan perdagangan selepas mendapati beliau bersalah atas kesalahan penyalahgunaan kuasa dalam pelan pembangunan tenaga solar.

    Negara Asia Tenggara itu telah berikrar untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050 dan sedang berusaha meningkatkan pengeluaran tenaga angin dan solar bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

    Hoang Quoc Vuong, 62, mengaku menerima rasuah sebanyak A$57,600 untuk memberi keutamaan kepada loji-loji janakuasa solar di wilayah Ninh Thuan, selatan Vietnam, dengan menetapkan harga istimewa apabila mereka menjual tenaga kepada syarikat elektrik negara.

    Vuong pernah memegang jawatan timbalan menteri industri dan perdagangan antara tahun 2015 hingga 2020 dan merupakan pengerusi kepada syarikat milik kerajaan, Electricity of Vietnam (EVN), antara 2012 hingga 2015.

    Menurut keputusan mahkamah, EVN membelanjakan hampir $154 juta (4,000 bilion dong) untuk membeli tenaga solar daripada tiga loji janakuasa solar di wilayah Ninh Thuan antara 2018 dan 2020, yang mengakibatkan kerugian lebih $40 juta kepada bajet negara.

    Vuong mengaku kepada mahkamah bahawa beliau menerima rasuah tetapi keluarganya telah membayar semula jumlah tersebut.

    “Saya rasa sepanjang perkhidmatan awam saya, saya telah melakukan kesilapan yang menyebabkan kerugian. Jadi saya bertanggungjawab untuk membayar balik jumlah tersebut kepada negara,” kata Vuong kepada mahkamah.

    Dalam kata-kata terakhirnya sebelum keputusan dijatuhkan, Vuong berkata bahawa “kesalahan saya adalah satu pengajaran yang menyakitkan, yang telah menghapuskan segala sumbangan saya kepada negara dalam pelbagai jawatan.” – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda