Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Shell Eco-marathon Organisation (SEMO) Universiti Brunei Darussalam (UBD) sekali lagi menyahut cabaran Shell Eco-Marathon Asia Pasifik dan Timur Tengah 2025, yang akan diadakan di Doha, Qatar dari 8 Februari hingga 12 Februari 2025.
Pasukan yang dikenali dengan nama Belia Tabah, terdiri daripada 10 orang pelajar kejuruteraan, sains dan perniagaan yang bermotivasi tinggi, bertekad untuk meneroka lebih dalam tentang reka bentuk kenderaan cekap tenaga.
Mereka terdiri daripada Awang Mohammad Hifdzur Azmi bin Haji Mohd Zain; Awang Ahmad Muzakker bin Haji Khalid; Awang Iman bin Abdul Walid; Awang Muhammad Aqil Nuruddin bin Janeil; Awang Muhammad Ikhwan Syazwan bin Mohamad Azrin; Dayang Raihani binti Mohammad Rafie; Dayang Amal Nabillah binti Haji Abdul Aziz; Dayang Helena Shea binti Harun; Dayang Nur Amni Imanina binti Haji Narudin dan Dayang Fatin Amanina binti Haji Abdul Azis.
Kumpulan pelajar itu diketuai oleh Dr Muhammad Abid dan Pengiran Haji Baharuddin bin Pengiran Haji Abdul Momin di tapak cabaran dan Dr Quentin Cheok di sini.
Satu acara pelepasan telah diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), di mana Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle, bersama penolong naib canselor, kakitangan UBD, penaja dan wakil media, berkumpul untuk mengiktiraf usaha pasukan dan mendoakan kejayaan mereka. Bacaan Doa Selamat diketuai oleh Pegawai Ugama, UBD, Haji Muhammad Dzulhilmi bin Haji Moharefandi.
Dr Hazri memuji para pelajar di atas dedikasi berterusan mereka, dengan menyatakan, keterujaan melihat pelajar UBD mengambil bahagian dalam pertandingan ini sekali lagi.
“Komitmen mereka terhadap inovasi dan kemampanan adalah dipuji dan kami percaya mereka akan mempamerkan bakat dan kepintaran Negara Brunei Darussalam pada peringkat global,” ujarnya.
Penyediaan rapi selama berbulan-bulan telah menyempurnakan aerodinamik, kecekapan tenaga dan reka bentuk keseluruhan kenderaan. Keazaman pasukan untuk memperbaiki pencapaian terdahulu adalah bukti penekanan UBD terhadap penyelidikan, kemampanan dan inovasi.
Sokongan kewangan dan teknikal yang penting untuk SEMO UBD telah datang daripada penaja utama, termasuk Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), Unified National Networks Sdn Bhd (UNN), Shell E&P Brunei (SEPB) dan banyak lagi. Sumbangan mereka telah membolehkan pasukan meningkatkan kenderaan mereka dan memperoleh pandangan berharga untuk pertandingan.
Mengimbas kembali perjalanan mereka, pengurus pasukan, Awang Mohammad Hifdzur Azmi berkata, “kembali ke Shell Eco-Marathon adalah peluang yang menarik untuk mereka membina pengalaman sebelum ini.
“Pertandingan ini terus mencabar kami dan dengan sokongan UBD, penaja kami, keluarga dan masyarakat, kami bersedia untuk memberikan persembahan terbaik kami,” tambahnya.
Salah seorang pemandu pasukan, Awang Ahmad Muzakker, berkongsi penantian untuk cabaran di hadapan, dengan menjayakan memandu Belia Tabah dalam Shell Eco-Marathon adalah satu penghormatan dan tanggungjawab.
“Matlamat kami adalah untuk menolak had kecekapan tenaga sambil mengekalkan keselamatan dan prestasi. Saya teruja dan bersedia untuk memberikan usaha terbaik saya di trek,” ujarnya.
Shell Eco-Marathon ialah pertandingan yang diiktiraf di peringkat global yang menguji keupayaan pasukan pelajar untuk mereka bentuk, membina dan memandu kenderaan dengan kecekapan tenaga tertinggi. Ia memupuk kerja berpasukan, kreativiti dan mengejar penyelesaian pengangkutan yang mampan.
Ketika pasukan Belia Tabah memulakan perjalanan ini, Negara Brunei Darussalam berdiri di belakang mereka dengan kebanggaan, berharap untuk satu lagi prestasi yang kukuh. Penyertaan mereka menggariskan komitmen UBD kepada kecemerlangan kejuruteraan dan inovasi yang mampan di persada antarabangsa.