Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bell bangkit demi minat

    Manik-manik jernih yang gugur dari kelopak mata saat melangkah kaki ke pentas untuk menerima trofi berprestij, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35 di Panggung Sari, Istana Budaya, minggu lalu, menterjemah perasaan yang bersarang dalam hati artis ‘senior’ serba boleh, Bell Ngasri, 43.

    Bukan hanya air mata kegembiraan yang mengalir, rasa sebak berpunca kegagalan Bell mengawal emosi saat terkenangkan liku dilalui sepanjang lebih tiga dekad bergelar anak seni.

    Masih basah dalam ingatan Bell insiden pernah dihina seorang pengarah terkenal yang mempertikai bakat lakonannya hanya disebabkan dirinya pendek atau ketot.

    Meskipun kata-kata itu umpama pisau menghiris hati, namun, pelakon filem Kaki Bakar ini tidak terasa hati, sebaliknya, menjadikan penghinaan itu sebagai pembakar semangat mengecap kejayaan.

    “Sepanjang hidup saya sebagai artis, saya banyak melalui pahit manis. Pernah ada yang beritahu saya, macam inikah hendak jadi artis dengan badan ketot macam kau?

    “Demi Allah, ini memang terjadi. Pengarah yang kata begitu ada dalam (Panggung Sari) tadi (minggu lalu).

    “Kalau awak yang kena macam mana? Sudah tentu melunturkan diri. Tetapi, Alhamdulillah, ini (kejayaan di pentas ABPBH 35) adalah bukti kepada mereka yang pernah buat begitu terhadap saya,” katanya.

    Meskipun menimba pengalaman dalam dunia lakonan sejak kanak-kanak, namun, Bell mengaku nasibnya tidak seperti pelakon lain yang begitu mudah ditawarkan watak utama serta mencipta populariti segera.

    “Sekecil-kecil watak saya ada di belakang hero, saya ada di celah-celah orang. Kalau ada acara-acara besar seperti ini, saya hanya akan layan penonton waktu slot iklan sahaja,” katanya BH Online. – Agensi

    Masih basah dalam ingatan Bell insiden pernah dihina seorang pengarah terkenal yang mempertikai bakat lakonannya hanya disebabkan dirinya pendek atau ketot. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda