Monday, March 17, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bendera Besar Negara mula dikibarkan

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Bagi menandakan bermulanya Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75 tahun, Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara telah diadakan dalam acara penuh gilang gemilang di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada upacara tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi tahun ini.

    Upacara menyaksikan 75 orang pembawa bendera Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada anggota-anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Penjara dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bergerak masuk begitu juga pasukan pengibaran bendera besar terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Brunei. Terdahulu itu, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dibacakan oleh Begawan Mudim Awang Abdul Latif bin Haji Saman.

    Kemudian, bendera besar Negara Brunei Darussalam yang berukuran 3.7m x 7.5m diserahkan oleh tetamu kehormat untuk dinaikkan dan dikibarkan dengan iringan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’.

    Semasa upacara itu, Yang Berhormat Pehin seterusnya menyempurnakan penyerahan bendera berukuran 2.5m x 1.2m dan poster-poster sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-75 kepada Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin; Pemangku Pegawai Daerah Tutong Awang Ajmin bin Haji Meludin dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.

    Sejurus upacara di ibu negara itu, Upacara Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam di daerah-daerah lain turut diadakan.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyerahkan bendera berukuran 2.5m x 1.2m dan poster sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-75 kepada Awang Ramlee.

    Pembawa bendera bersedia untuk upacara pengibaran bendera besar di kawasan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara, kelmarin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda