Thursday, January 23, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel bercerita tingkat kemahiran pemandu pelancong

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Seramai 12 pemandu pelancong yang bertauliah telah menyertai bengkel bercerita yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), bermula 20 Januari hingga hari ini.

    Program selama tiga hari itu bermatlamat untuk melengkapkan para pemandu pelancong dengan kemahiran dan teknik yang diperlukan untuk menjana naratif yang menarik yang dapat menarik minat para pengunjung.

    Dengan meningkatnya permintaan untuk pengalaman pelancongan yang mengayakan, peranan pemandu pelancong telah berubah daripada hanya menyediakan maklumat berfakta.

    Pada masa ini, para pelawat menginginkan hubungan yang lebih tulen dan sukar dilupakan yang melangkaui daripada hanya memberikan fakta sejarah atau penerangan mengenai mercu-mercu tanda negara.

    Keupayaan untuk menyampaikan cerita-cerita yang menarik menjadi ciri yang menentukan seorang pemandu pelancong yang luar biasa.

    Jimmy Leong (kanan) semasa mengetuai latihan di tapak. – GAMBAR SERAHAN JKP
    Hajah Nur Fariza Munyati bergambar ramai dengan pemandu-pemandu pelancong yang telah menyertai dan menamatkan Bengkel Bercerita untuk Pemandu-pemandu Pelancong berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JKP

    Bengkel Bercerita untuk Pemandu-pemandu Pelancong menawarkan peluang yang tiada tandingan bagi pemandu-pemandu pelancong untuk menghalusi keupayaan bercerita mereka dan memanfaatkan kuasa naratif dalam tugasan mereka.

    Bengkel itu bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi para pemandu pelancong yang membolehkan mereka untuk menyampaikan maklumat dan cerita secara efektif kepada para pelancong, melengkapkan para pemandu pelancong dengan keupayaan untuk memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh para pelancong menerusi bercerita.

    Menerusi bercerita dengan efektif, ia boleh membangkitkan emosi dan menjana hubungan yang lebih mendalam antara pemandu pelancong dengan pelancong serta meningkatkan lagi kepuasan para pelancong dengan menyediakan pengalaman yang menyeronokkan.

    Latihan itu diketuai oleh Jurulatih Induk Program Latihan bagi Konsep Bercerita, Jimmy Leong Wie Kong yang telah dilantik oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Malaysia.

    Bengkel berkenaan menerokai seni dan sains bercerita, menekankan kuasanya dalam memandu dengan tumpuan kepada menjana naratif yang menarik yang dapat menghubungkan mereka dengan pelancong, membina kepercayaan dan menyampaikan secara efektif nilai-nilai warisan menerusi aktiviti praktikal dan sesi interaktif.

    Ia juga merangkumi sesi interaktif, aktiviti berkumpulan dan latihan di tapak.

    Di akhir bengkel itu, para peserta bengkel telah menerima sijil tamat latihan yang disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah JKP, Hajah Nur Fariza Munyati binti Haji Abdul Aji.

    JKP telah mengendalikan bengkel berkenaan sejak 2024 dan merancang untuk terus mengendalikan bengkel berkenaan lagi pada tahun hadapan bagi meningkatkan kemahiran pemandu pelancong dalam penyampaian maklumat dan bercerita.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda