Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Bengkel pertingkat kemahiran digital

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Google Developer Group (GDG) Brunei dan Women Techmakers (WTM) Brunei dengan sokongan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), telah mengadakan bengkel bertema Sains Data sebagai sebahagian daripada Minggu Teknologi Digital Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2022, kelmarin.

    Bengkel Sains Data percuma telah dilaksanakan sebagai bengkel hibrid, di mana peserta boleh memilih untuk hadir secara maya atau menghadiri sesi bersemuka di Bilik Sepakat 4, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

    Semasa bengkel tersebut, lebih 170 peserta mengambil bahagian yang mana 108 peserta menghadiri sesi secara maya manakala 65 peserta hadir secara fizikal.

    Salah seorang peserta, Awang Mohd Farhan Izzudin bin Mahli, mengongsikan bahawa bengkel tersebut merupakan satu pengalaman pembuka mata kerana mereka berpeluang bekerja sambil belajar bersama pakar daripada industri.

    “Saya berasa kagum dengan ilmu dan kepakaran yang disampaikan oleh penceramah selain bengkel ini bukan memberi peluang kepada kami mempelajari teori saja tapi memberi kami peluang belajar cara mengaplikasikannya,” katanya. Manakala duta WTM Brunei, Dayang Saedah binti Hasnal mengatakan, “Selain melengkapkan dan mempersiapkan masyarakat dengan peluang untuk memperoleh kemahiran masa hadapan, adalah penting untuk mewujudkan ruang yang selamat untuk mereka berhubung dan belajar di antara satu sama lain.”

    Semasa acara sehari itu, peserta juga berpeluang menjalin rangkaian dan berunding dengan pakar sains data dan pakar kecerdasan buatan dari BSP yang bertanggungjawab untuk menerajui perjalanan transformasi digital BSP.

    Sementara itu, Pengurus Pendigitalan BSP, Sofiah Umar pula mengongsikan bahawa bengkel itu adalah sebahagian daripada komitmen BSP untuk mewujudkan tenaga kerja masa hadapan melalui peningkatan kemahiran digital.

    “Kami percaya bahawa transformasi digital adalah pemboleh utama untuk mencapai prestasi yang cemerlang dan mampan. Di BSP, kami menumpukan untuk mengaplikasikan penyelesaian digital dan menangani masalah perniagaan dengan menyediakan cara-cara bekerja yang lebih cepat, baik dan menjimatkan kos yang mana ini akan dilaksanakan menerusi keupayaan digital dalaman,” katanya.

    Antara peserta yang mengambil bahagian dalam bengkel Sains Data yang diadakan baru-baru ini. – Gambar serahan BSP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...