Friday, November 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bentuk persekitaran kondusif melalui pelan perancangan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Hasil yang dapat dimanfaatkan melalui penyediaan skim perancangan bagi kawasan-kawasan pertumbuhan yang dikenal pasti, serta penghasilan buku-buku garis panduan dan piawaian perancangan yang digunakan di peringkat kawalan kemajuan, adalah dihasratkan akan dapat menyumbang dalam mewujudkan persekitaran kemajuan yang kondusif dan teratur bagi hala tuju kemajuan ke arah pembangunan mampan.

    Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menekankan perkara itu semasa ucapan pelancaran Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan hari ini.

    Beliau turut menegaskan, pelan perancangan itu bukan hanya digunakan sebagai dokumen rujukan malahan ia dihasratkan juga bertindak selaku platform dalam menjana kolaborasi antara pelbagai pihak sama ada antara agensi kerajaan mahu pun swasta dalam memacu bersama kemajuan secara bersepadu.

    Selain mengalu-alukan usaha Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) iaitu dengan mengadakan sesi perbincangan di peringkat komiti di bawah Autoriti Perancang, dan berharap ia akan dapat dilaksanakan secara berterusan bagi memantapkan pendekatan perancangan guna tahan dan kawalan kemajuan yang inklusif.

    “Pelan perancangan yang disediakan adalah merupakan living document yang perlu sentiasa dikemas kini dan dipantau, serta bersifat dinamik bagi memastikan ia sentiasa relevan dan berkeupayaan untuk mengambil kira konteks dan cabaran kemajuan semasa,” jelasnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda semasa menyampaikan ucapan pelancaran pada majlis tersebut.
    – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Selain menyeru agar JPBD memantapkan kapasiti dari segi perundangan mahupun strategi dalam membina keupayaan kewangan dalam memastikan program-program kemajuan yang telah dicadangkan dalam pelan-pelan perancangan tersebut dapat dilaksanakan mengikut garis masa yang telah ditetapkan.

    Yang Berhormat Dato dalam ucapan perasmian turut mengongsikan, Buku Pelan Strategik Kementerian Pembangunan 2024-2029 yang telah diterbitkan baru-baru ini merupakan salah satu pencapaian kementerian dalam merangka hala tuju bagi tempoh lima tahun ke hadapan untuk memastikan pembangunan negara terus maju dan berdaya saing.

    Selain menjelaskan, Matlamat Strategik Pembangunan Mampan adalah antara beberapa matlamat strategik utama yang telah ditetapkan demi untuk mencapai tiga visi kementerian iaitu Kehidupan Berkualiti; Pembangunan Mampan dan Negara Makmur.

    Beliau seterusnya menambah, melalui penyediaan pelan-pelan perancangan guna tanah di peringkat kebangsaan, daerah dan setempat yang mengandungi dasar, strategi serta program kemajuan, fungsi dan peranan perancangan guna tanah, ia sangat signifikan dalam menerapkan matlamat strategik pembangunan mampan di peringkat tempatan.

    Melalui platform komiti di bawah Autoriti Perancang, perancangan guna tanah bertindak selaku gate keeper dalam memastikan pangkalan bekalan tanah negara dapat dipantau dan dikawal secara strategik.

    “Ini adalah untuk pengagihan tanah secara optimum yang dapat memenuhi keperluan tanah dari pelbagai agensi dan keperluan kemajuan,” jelasnya.

    Majlis berkenaan dianjurkan oleh JPBD dengan tema Localizing Sustainable Goal in Land Use Planning and Development Control.

    Pengisian sambutan ini memfokuskan kepada Reaching Out Program bagi membarigakan peranan perancangan guna tanah dan kawalan kemajuan dalam menerapkan matlamat Pembangunan mampan di peringkat tempatan.

    Selain sambutan turut diiisikan dengan pameran selama tiga hari yang akan bermula pada 15 hingga 17 November di Kompleks Membeli-Belah Times Square, Jaya Setia Berakas.

    Di samping itu, bagi menyemarakkan sambutan tahun ini, penyalaan lampu pelbagai warna di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien bermula pada 7 hingga 18 November adalah untuk memanifestasikan kepentingan kemajuan bersepadu dan kolaborasi pelbagai pihak.

    Warna lampu hijau, merah, kuning, biru dan ungu merupakan kod warna zon perancangan guna tanah yang terdapat di pelan perancangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda