Sunday, February 9, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berbangga sertai Sambutan Hari Kebangsaan

    Oleh Imelda Groves HA

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Semangat patriotik jelas terlihat di wajah para peserta walaupun berpanas berlatih dan akhirnya berhujan dalam sama-sama bersemangat menyambut Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 tahun pada pagi ini yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di sini.

    Media Permata menemu bual beberapa orang peserta perbarisan dari pelbagai latar belakang dan usia untuk mengetahui perasaan masing-masing yang rata-rata telah pun bersiap sedia seawal jam 5 pagi lagi.

    Wakil dari TelBru, Nurbahriah Eliza binti Abdullah menyatakan rasa seronoknya menyertai perbarisan lalu buat kali ke-5 tahun ini.

    “Acara seperti ini adalah acara yang dinanti-nantikan pada setiap tahun dan keseronokan hanya dapat dirasakan setelah menyertainya yang bermula dengan persiapan dan latihan-latihan yang diadakan sebelum hari sebenar,” jelasnya.

    Wakil dari Kolej Antarabangsa Micronet (MIC), Dayang Dewi Rabi’atul ‘Adawiyah binti Haji Hamdilah, 23 pula menceritakan perbezaan dari setahun ke setahun, Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang diadakan pada setiap 23 Februari.

    Nurbahirah Eliza dan rakan sepasukan dari TelBru.
    Nurbahirah Eliza dan rakan sepasukan dari TelBru.
    Dewi Rabiatul Adawiyah bersama rakan-rakan dari Micronet International College.
    Dewi Rabiatul Adawiyah bersama rakan-rakan dari Micronet International College.

    “Kumpulan perbarisan lalu ini semakin meriah terutama sekali dengan penyertaan para belia yang nampak begitu bersemangat diikuti dengan penglibatan para peserta yang meningkat,” katanya lagi yang sangat gembira, teruja dan bersemangat menyertai perbarisan ini.

    Beliau berharap akan dapat lagi turut serta dalam perbarisan lalu akan datang akan semakin bertambah penyertaan daripada para belia-belia muda.

    “Sebagai anak Brunei, kita haruslah menanamkan rasa cinta untuk negara dan kita haruslah berjuang demi negara kitani,” jelasnya lagi.

    Dayang Eliana binti Ramlli, 33, dari Kementerian Kewangan pula telah pun menyertai acara Hari Kebangsaan selama lapan tahun berturut-turut dan perbezaan tahun ini beliau bersama rakan kerja yang lainnya bukan hanya turut serta dalam perbarisan lalu malah turut serta dalam acara persembahan padang.

    Beliau yang sangat teruja, terharu dan gembira dapat sama-sama menyambut Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini turut menjelaskan warga negara ini perlu bertekad dengan berusaha lebih gigih untuk merealisasikan kemajuan negara dan mencapai Wawasan Brunei 2035 dan bekerjasama untuk meningkatkan kemajuan negara supaya menjadi sebuah negara yang sebanding dengan negara lain.

    “Harapan saya agar semangat patriotisme akan dapat ditanamkan dalam hati belia-belia masa kini dan akan datang, agar jiwa keBruneian tidak luntur dan saya juga berharap ada pihak-pihak tertentu akan sentiasa mengambil contoh dari luar negara apabila mengadakan apa juga perayaan yang penuh dengan semangat dan persembahan yang lebih moden dan beraneka warna,” tambahnya.

    Awang Mansor bersama ahli-ahli Persatuan Hoki Brunei Darussalam.
    Awang Mansor bersama ahli-ahli Persatuan Hoki Brunei Darussalam.

    Sementara itu, Yang Di-Pertuan Persatuan Hoki Brunei Darussalam Awang Mansor bin Haji Ibrahim, 53, pula menyertai perbarisan lalu dari Kluster Persatuan-persatuan Sukan Kebangsaan buat kali pertama tahun ini.

    “Perasaan sangat berbangga diberi penghormatan untuk mengikuti perbarisan lalu pada Hari Kebangsaan tahun ini dan berharap akan lebih banyak penyertaan daripada persatuan-persatuan sukan dalam merayakan dan menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun mendatang,” tambahnya.

    “Saya menasihatkan agar para belia kita bersemangat kerana hari ini adalah tarikh keramat yang harus menjadi kebanggaan semua, kita seharusnya berbangga kerana negara kita telah pun mencapai kemerdekaannya selama 33 tahun. Saya juga menyeru kepada belia tanpa mengira peringkat umur agar dapat ikut serta menyertai acara seperti ini kerana mereka adalah tulang belakang negara yang akan menjadi pemimpin di masa hadapan,” ujarnya

    Dayang Siti Khaliysah Zahiah Dayinie binti Zuhairy, pelajar Tahun 8 di Sekolah Nusa Laila Putri pula menyatakan rasa kegembiraannya menyertai perbarisan lalu tahun ini.

    “Semangat untuk perbarisan lalu ini tidak dapat dinyatakan kerana merasa sangat teruja untuk berbaris lalu dihadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam walaupun hanya dalam beberapa minit sahaja”, jelasnya.

    Beliau berharap dapat melibatkan diri dalam apa jua acara-acara kebesaran negara yang diadakan kerana ia dapat memberikan beliau pengalaman yang tidak dapat dilupakan dengan pendedahan untuk berjumpa dengan orang ramai dari pelbagai latar belakang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda