Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mac – Pada zaman sekarang, wanita kebanyakannya bekerja dan tidak semua tempat kerja menyediakan kemudahan tempat sembahyang.
Oleh yang demikian, reka bentuk masjid dicadangkan supaya selaras dari segi kemudahan bagi jemaah wanita kerana akses di setiap masjid bagi jemaah wanita adalah berlainan.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari (gambar bawah) mencadangkan perkara ini semasa sesi soal jawab yang diajukan kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama, pada Persidangan MMN, di Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.
Menurut beliau, ada rekaan masjid yang sangat baik di mana jemaah wanita tertutup atau pun terlindung apabila memasuki tandas dan mengambil air wuduk.
“Ada juga yang terbuka di mana ia berkongsi dengan tempat laluan jemaah lelaki, ada juga yang tidak sesuai bagi jemaah wanita yang menggunakan tongkat kerana perlu menaiki tangga, dan ada juga tangganya gelap dan mungkin tidak selamat,” tambahnya.
Yang Berhormat Dayang Khairunnisa berharap para arkitek pada masa akan datang tidak lupa memikirkan jemaah wanita apabila mencadangkan reka bentuk masjid.
Seruan tersebut sangat dihargai oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan menegaskannya juga kepada arkitek-arkitek untuk mengambil kira ketika merancang pembinaan pelan-pelan masjid.
Selain itu, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa juga menyokong idea atau pendapat yang dikongsikan oleh ahli MMN, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu mengenai e-Kubur.
Menurutnya, e-Kubur adalah sebagai satu cara untuk memudahkan pengurusan jenazah terutama sekali apabila berlakunya insiden-insiden seperti tanah susur di kawasan tanah perkuburan, di mana keluarga jenazah boleh dimaklumkan dengan lebih cepat dan bukannya mengharapkan mesej tular.
Mengenai e-Kubur, Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin berkata bahawa ia akan diselaraskan lagi dengan perancangan awalnya iaitu agar kubur-kubur baharu akan tersusun dengan ada pendaftaran tertentu dan supaya tempatnya diketahui bukan sahaja oleh waris-warisnya pada masa ini tetapi pada masa-masa yang akan datang.